Aliey Faizal

'Isy Kariiman Aw Muth Syahiidan

Bab 18 Kalam

Posted by Aliey Faizal pada 16 Juni 2012

Matan

YANG ketiga belas Al Kalam. Ertinya berkata-kata Tuhan tidak dengan bermulut, tidak dengan suara atau. sebagainya sebagaimana berkata-kata
makhluk. Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada, yang qadim lagi azali, berdiri pada zat Tuhan. Dengan dia menunjukkan apa-apa yang diketahui oleh Ilmu daripada yang wajib seperti firman Tuhan:

Ertinya: Tiada Tuhan melainkan Aku. (An Nahl: 2)

Dan daripada yang mustahil seperti firman-Nya:

Ertinya: Kata orang nasrani bahawasanya ALLAH yang ketiga daripada yang tiga. (Al Maidah: 73)

Dan daripada yang harus seperti firman Tuhan:

Ertinya: Bermula ALLAH yang menjadikan kamu dan barang perbuatan kamu. (As Soffat: 96)

Maka kalam ALLAH Taala itu satu sifat jua, tiada berbilang tetapi ia berbagai-bagai. Apabila dipandang dari segi perkara yang dikatakan iaitu jika ia menunjuk kepada suruh, dinamakan ‘Amr’ (suruh) seperti tuntutan mengerjakan puasa. Jika ia menunjuk kepada tegahan atau larangan, di namakan ‘Nahi’ (tegahan) seperti tegahan main judi, dan jika menunjuk kepada berita dinamakan ‘Khabara’ (cerita) seperti riwayat Firaun memperbuat begian-begian. Jika menunjuk kepada janji iaitu dinamakan ‘Wa’da’ (janji) seperti orang taat dapat balasan Syurga dan jika menunjukkan kepada ugutan dinamakan ‘Wa’id’ (janji) balas seksa) seperti orang yang mendurhaka itu dibalas dengan azab.

Pengertian Sifat Al Kalam

ERTI AL Kalam di dalam bahasa kita ialah “berkata-kata”. Yang dimaksudkan dengan berkata-kata bagi ALLAH di sini ialah bahawa ALLAH SWT itu berkata-kata dengan tidak menggunakan mulut, tidak bersuara sepertimana makhluk dan tidak juga dengan berlafaz atau berhuruf. Dan berkata-kata ALLAH juga tidak ada yang dahulu dan tidak ada yang kemudian, tidak bermula dan tidak berakhir. Jadi, berkata-katanya ALLAH SWT tidak serupa dengan segala makhluk.

Kalaulah sifat berkata-kata ALLAH SWT serupa dengan makhluk yang berkata-kata dengan menggunakan mulut, ada lafaz dan kalimah, ada dahulu dan ada kemudian serta ada permulaan dan ada kesudahan, maka dengan sendirinya akan ternafilah sifat Mukhalufutuhu Taala Lil Huwudisi iaitu bersalahan ALLAH itu dengan segala yang baharu. Sedangkan sifat Mukholafatuhu Taala Lil Hawadisi ini adalah sifat yang wajib bagi ALLAH SWT.

Dan sekiranya kita mengatakan yang ALLAH SWT itu berkata-kata sepertimana makhluk, maka sudah samalah pula ALLAH dengan segala yang baharu. Dan kalau ALLAH itu sama dengan segala yang baharu, maka ALLAH juga sifat-Nya baharu. Kalau ALLAH bersifat baharu, tentulah ALLAH itu dijadikan kerana segala yang baharu adalah dijadikan dan ada yang menjadikan. Kalau ALLAH ada yang menjadikan, berertilah ALLAH itu ada permulaan dan ada kesudahan. Daripada pengertian ini, akan ternafilah pula beberapa sifat ALLAH yang lain.

Kalau ALLAH dijadikan dan ada yang menjadikan, dengan sendirinya ALLAH lemah, dan ini akan menafikan sifat Qudrah bagi ALLAH SWT. Kalau ALLAH dijadikan dan ada yang menjadikan juga, tentulah ALLAH ada permulaan dan ada kesudahan. Ini akan menafikan pula sifat Qidam bagi ALLAH SWT.

Oleh yang demikian, wajiblah kita mempercayai dan meyakini sungguh-sungguh bahawa ALLAH itu sifatnya berkata-kata. Tetapi, berkata-katanya ALLAH SWT tidak serupa dengan makhluk; tidak memerlukan mulut, tidak berlafaz, tidak ada kalimah, tidak ada dahulu dan tidak ada kemudian serta tidak ada permulaan dan tidak ada kesudahan.

Jadi, kalaulah demikian keadaan Kalamullah atau sifat berkata-kata bagi ALLAH, tentu kita ingin mengetahui hakikatnya. Tetapi, hanya ALLAH sahaja yang mengetahuinya. Kerana, kalau kita bahas-bahaskan sifat ini hingga kita dapat mengetahuinya, maka itu adalah tanda bahawa kita tidak mengetahuinya. Ertinya, sesiapa yang mengetahui bagaimana hakikat berkata-kata ALLAH SWT ini, sebenarnya dia orang yang tidak mengetahui. Dan barang siapa yang tidak dapat mengetahui hakikat berkata-kata bagi ALLAH SWT, dia itulah sebenarnya orang yang mengetahui.

Ertinya, kalau kita bahas-bahaskan sifat berkata-kata bagi ALLAH ini, hingga kita tidak dapat mengetahui hakikatnya, maka itulah sebenarnya yang dikatakan mengetahui. Jadi, kalau ditanya bagaimana hakikat berkata-kata ALLAH SWT ini, jawabnya: wallahu a’lam. ALLAH sahaja Yang Maha Mengetahui.

Cuma daripada pengetahuan yang kita perolehi daripada pengajian-pengajian tauhid, sekiranya ada hujah-hujah membawa kepada penyerupaan ALLAH dengan makhiuk, maka kita dapat menolaknya. Sebarang bentuk hujah yang hendak menyerupakan sifat berkata-kata ALLAH SWT dengan makhluk, terus kita tolak bulat-bulat.

Pengertian tadi tentunya akan menimbulkan persoalan. Iaitu, oleh kerana ALLAH berkata-kata dengan tidak bersuara, berlafaz dan berkalimah serta tidak ada dahulu dan tidak ada kemudian, bagaimana pula halnya dengan Al Quran? Bukankah Al Quran itu Kalamullah? Sedangkan Al Quran itu berhuruf dan berlafaz serta bila dibaca, mengeluarkan suara. Kemudian ada dahulu dan ada pula kemudian. Bagaimana pula dengan hal ini?

Untuk menjawabnya, perlu kita ingat di sini bahawa Kalamullah yang disebutkan di dalam Al Quran itu adalah terjemahan sahaja. Al Quran yang ada pada kita, yang boleh dibaca dan ada lafaznya, adalah terjemahan bagi Kalamullah yang ada pada azali lagi, yang hakikatnya kita tidak tahu.

Kalamullah yang ada pada azali itulah yang tidak berhuruf, tidak berlafaz, tidak berpermulaan dan tidak ada kesudahan. Itulah Kalamullah atau kata-kata ALLAH SWT yang sebenarnya, bukan pada Al Quran yang kita simpan di rumah-rumah dan boleh kita baca itu. Kalau kita katakan bahawa Kalamullah yang sebenarnya ialah pada Al Quran, akan tersesatlah kita.

Hakikat Sifat Al Kalam

Pengertian sebenar bagi Kalamullah ini ialah suatu sifat yang wajib ada serta yang qadim lagi azali yang berdiri pada zat ALLAH SWT. Qadim lagi azali, sepertimana yang telah kita bahaskan, ia tidak bermula dan ia berdiri pada zat ALLAH SWT. Manakala zat ALLAH SWT itu adalah Qidam iaitu tidak bermula kerana wujudnya ALLAH SWT itu tidak ada siapa yang menjadikan. Oleh kerana sifat ALLAH SWT yang di antaranya ialah sifat Kalam, adalah berdiri pada zat ALLAH SWT, maka dengan sendirinya sifat ALLAH juga qadim lagi azali iaitu tidak bermula.

Pengertian ringkasnya ialah, semua sifat yang ada pada ALLAH SWT adalah berdiri pada zat-Nya. Manakala zat ALLAH SWT itu pula adalah qadim lagi azali, iaitu tidak bermula, maka sifat ALLAH SWT juga tentulah qadim lagi azali serta tidak bermula. Dan oleh kerana Kalamullah adalah di antara sifat-sifat yang wajib kita pelajari dan ia terdiri pada zat ALLAH SWT, maka sifat Kalamullah ini adalah qadim lagi azali dan ia tidak bermula.

Huraiannya

Kemudian, daripada sifat Kalamullah inilah maka adanya ilmu pengetahuan berhubung dengan yang wajib, yang mustahil dan yang harus. Jadi, kita tahu tentang yang wajib, yang mustahil serta yang harus adalah kerana adanya Kalamullah atau oleh kerana adanya ALLAH itu berkata-kata tentang yang wajib, yang mustahil dan yang harus.

ALLAH ada memperkatakan tentang yang wajib seperti Ia memperkatakan tentang diri-Nya. Di dalam Al Quran, ALLAH ada berfirman:

Terjemahannya: Akulah ALLAH tiada Tuhan. melainkan Aku.

Di sini ALLAH memperkatakan tentang diri-Nya iaitu zat-Nya sendiri. Dan diri ALLAH SWT itu sendiri adalah yang wajib. Ini dikatakan wajibul wujud atau wajib ada dan kita pula meyakini adanya.

Di dalam ayat yang lain di dalam Al Quran ALLAH
ada berkata:

Terjemahannya: Katalah olehmu (ya Muhammad):”Dialah ALLAH Tuhan yang esa. ALLAH tempat bersandarnya seluruh makhluk. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan Dia tidak serupa dengan sesuatu. “(Al Ikhlas: l-4)

Ini Kalamullah yang menceritakan tentang diri dan zat ALLAH. Kita wajib mempercayainya kerana Kalamullah ini adalah tentang yang wajib. Iaitu wajib kita mempercayai ALLAH itu esa dan ALLAH itulah tempat kita meminta dan tempat kita bersandar. ALLAH itulah tempat menunaikan segala kehendak makhluk ini. Kemudian, wajib kita mempercayai ALLAH itu tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan wajib pula kita mempercayai bahawa ALLAH itu tidak serupa bagi
sesuatu.

Di dalam Al Quran terdapat banyak Kalamullah yang menunjukkan tentang yang wajib. Seperti firman-Nya:

Terjemahannya: ALLAH Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui. (At Taubah: 98)

Dan firman ALLAH lagi:

Terjemahannya: ALLAH Maha Mendengar Lagi Maha Melihat.(Al Haj: 61)

Di sini kita dapati ALLAH memperkatakan tentang diri-Nya mendengar dan melihat serta mengetahui. Wajib ALLAH itu mendengar, melihat dan mengetahui.
Seterusnya ALLAH berfirman:

Terjemahannya: Dia adalah ALLAH yang hidup lagi berdiri dengan sendirinya. (Ali Imran: 2)

Dengan Kalamullah ini, wajib kita mempercayai ALLAH itu hidup dan ALLAH Taala itu Qayyum atau berdiri dengan sendirinya. Di dalam kitab dikatakan ALLAII SWT itu Qiamuhu Taala Binafsihi ALLAH itu maha berdiri dengan sendirinya.

Itulah di antara sekian banyak Kalamullah yang menunjukkan soal-soal yang wajib.

Kalamullah Menjelaskan Perkara Mustahil

Selain menunjukkan tentang yang wajib, Kalamullah juga ada menunjukkan kita tentang yang mustahil. Ertinya, ALLAH ada menceritakan kepada kita melalui Kalam-Nya tentang perkara yang tidak akan berlaku dan yang mustahil berlaku. Akal juga tidak mahu menerima akan berlakunya perkara itu. Umpamanya, di dalam Al Quran, ALLAH ada menceritakan satu tuduhan orang nasrani (kristian) melalui ayat yang berbunyi:

Terjemahannya: Mereka berkata: Sesungguhnya ALLAH itu adalah tuhan ketiga daripada yang tiga.(Al Maidah: 73)

Orang-orang nasrani menuduh ALLAH itu tiga juzuk atau tiga uknum. Mereka mengatakan bahawa satu menepati tiga dan tiga menepati satu, atau yang diistilahkan oleh mereka sebagai trinity. Mengikut hujah mereka, semuanya ada tiga; tidak sempurna yang satu kalau tidak ada yang dua lagi dan tidak sempurna yang dua kalau tidak ada yang satu. Dan kata mereka, satu itu tiga dan tiga itu satu. Tetapi, berdasarkan hukum akal pun, kita tidak dapat menerima perkara ini. Kalau satu, akal tentu menerimanya satu dan kalau tiga pula, akal juga tentu menerimanya sebagai tiga. Masakan akal kita boleh menerima satu itu tiga dan tiga itu satu (hukum trinity orang kristian).

Kalau pada hukum akal pun hujah seperti itu sudah tertolak, maka betapalah kalau kita bahaskan menurut hukum syariat. Tetapi orang-orang kristian tetap mempertahankannya kerana mereka sudah terlalu fanatik dengan agama mereka dan telah menganuti keyakinan itu turun-temurun. Walaupun keyakinan itu sudah tidak lojik lagi sama ada dari segi falsafah mahupun dari segi mantik dan juga syariat, mereka mati-mati mempertahankannya. Mereka sudah buta dengan fahaman karut mereka tentang trinity itu hingga kebenaran pun mereka tidak nampak lagi. Dengan konsep trinity itu, orang-orang kristian percaya tuhan itu bapa, tuhan itu anak dan tuhan itu roh kuddus.

Dan dalam hal ini ALLAH ada memberitahu melalui Kalam-Nya tentang mustahilnya perkara ini. Iaitu mustahil ALLAH itu dua atau tiga atau sebagainya. Tidak akan mahu akal menerima Tuhan itu dua, tiga dan lebih. ALLAH hanya satu sepertimana yang ALLAH sebutkan di dalam Surah Al Ikhlas tadi.

Jadi ayat 73 Surah Al Maidah tadi adalah Kalamullah yang menceritakan tentang yang mustahil iaitu amat tidak wajar sekali orang-orang kristian menuduh ALLAH itu tiga. Mereka telah melakukan satu pembohongan dan kemungkaran yang amat besar. Dan di dalam Al Quran, banyak lagi ayat dari Kalamullah yang menceritakan tentang perkara yang mustahil. Kalau di dalam ayat tadi, orang kristian menuduh bahawa ALLAH lebih dari satu, di dalam ayat lain ALLAH ada menceritakan tentang tuduhan orang yahudi pula,

Nampaknya, di dalam Al Quran pun ALLAH telah menunjukkan kepada kita betapa keduadua kristian dan yahudi ini sama-sama bersepakat atau bekerjasama kalau berhadapan dengan Islam. Manakala mereka lupa kepada Islam saja, baharulah mereka bercakaran sesama sendiri. Jadi, janganlah kita percaya sangat kepada kristian dan yahudi dan janganlah kita bersandar nasib dengan mereka. Kalau orang kristian ada tuduhannya kepada ALLAH dengan mengatakan ALLAH itu tiga, orang yahudi pula ada tuduhan mereka. Apakah tuduhan mereka yang ALLAH bentangkan di dalam Al Quran melalui Kalamullah?

Terjemahannya: Sesungguhnya ALLAH mendengar ungkapan mereka iaitu katanya: “ALLAH itu miskin sedangkan kamilah yang kaya.” (Ali Imran: 181)

Begitu hebat sekali sifat sombong dan bongkaknya orang yahudi ini. Memang benarlah orang-orang yahudi digambarkan di dalam sejarah sebagai orang-orang kaya yang menuduh semua orang lain miskin-miskin, sehingga ALLAH pun mereka tuduh miskin. Memang biadab sungguh mereka. Kalamullah menceritakan kepada kita tentang mustahilnya tuduhan orang-orang yahudi yang mengatakan ALLAH itu miskin. Sedangkan ALLAH itu Maha Kaya dan kekayaan ALLAH tidak terbatas.

Kalamullah Menceritakan Perkara Harus

Melalui Kalamullah juga, ALLAH ada menceritakan kepada kita tentang perkara-perkara yang harus. Banyak sekali ayat yang menceritakan tentang perkara yang harus ini. Di antaranya ALLAH ada menyebut:

Terjemahannya: ALLAH-lah yang menjadikan kamu (manusia) dan apa yang kumu buat. (As Soffat: 96)

Di sini ALLAH menunjukkan kepada kita betapa ALLAH telah menjadikan manusia. Dan bukan pula wajib bag-i ALLAH untuk menjadikan manusia, tetapi harus sahaja. Kerana kalau wajib bagi ALLAH untuk menjadikan manusia, tentulah ALLAH terpaksa menjadikan manusia. Kalau ALLAH terpaksa berbuat demikian, bererti ada yang memaksa-Nya. Dan ini juga bererti bahawa ada yang lebih gagah dari ALLAH. Mana boleh terjadi demikian.

Jadi, perbahasan kita menunjukkan bahawa tidak wajib bagi ALLAH menjadikan manusia. Hanya harus sahaja. Terpulanglah sama ada ALLAH hendak jadikan atau tidak. Dan tidak boleh pula kita katakan mustahil ALLAH jadikan manusia kerana manusia sudah terjadi. Tidak mungkin tidak terjadi. Kerana itu, ALLAH menjadikan manusia ini bukan mustahil dan bukan pula wajib, tetapi harus sahaja. Ertinya, kalau ALLAH hendak jadikan, maka jadilah kita ini tetapi kalau ALLAH tidak mahu jadikan, tidak jadilah kita. Tetapi, kerana ALLAH telah memilih untuk menjadikan manusia, maka kita pun ada. Beruntunglah kita kerana telah dijadikan hingga dapat menikmati udara Tuhan, memijak bumi-Nya, melihat langit-Nya, memakan rezeki-Nya dan sebagainya. Cuma kebanyakan kita sahaja yang lupa Tuhan.

Di dalam ayat tadi, bukan sahaja kita yang ALLAH jadikan tetapi segala apa yang kita buat pun, ALLAH yang jadikan. Ertinya kerja kita, usaha kita, perjuangan serta jihad kita, semuanya dijadikan oleh ALLAH, dan hukumnya adalah harus sahaja bagi ALLAH.
.
Jadi hendaklah kita faham bahawa bukan setakat diri kita ini saja yang ALLAH jadikan malah setiap perbuatan kita seperti tangan dan kaki yang kita gerakkan, mata yang melihat, telinga yang mendengar dan setiap usaha kita seperti mencari rezeki, makan minum, berpakaian, menyusun rumahtangga, berjuang dan berjihad, melagang ekonomi dan pendidikan serta lain-lainnya, semua itu juga ALLAH yang jadikan. Dan ini semuanya tidak wajib dan tidak mustahil bagi ALLAH menjadikannya, tetapi adalah harus sahaja.

Di dalam ayat yang lain, ALLAH menceritakan:

Terjemahannya: ALLAH yang mencipta langit dan bumi. (Ibrahim: 32)

ALLAH menceritakan betapa ALLAH telah menciptakan langit dan bumi yang begitu indah. Dan hal itu adalah harus sahaja bagi ALLAH, tidak wajib dan tidak juga mustahil. Tetapi oleh kerana ALLAH telah memilih untuk menjadikannya, maka terjadilah langit dan bumi hingga kita dapat bernaung di bawahnya dan berpijak di atas bumi.

Kemudian ALLAH berkata lagi melalui Kalam-Nya di dalam Al Quran:

Terjemahannya: Dialah ALLAH yang menjadikan bumi untuk kamu (manusia) sebagai hamparan.(Al Baqarah: 22)

Di sini ALLAH menyatakan yang bumi yang dijadikan-Nya itu adalah untuk manusia. Sebab itu di dalam ayat yang lain ALLAH berkata:

Terjemahannya: Berjalanlah di setiap pelosok bumi dan makanlah daripada rezekiNya.(Al Mulk: 15)

Ertinya, kerana ALLAH telah jadikan bumi ini untuk manusia, maka kita disuruh-Nya berjalan di setiap pelosoknya, di setiap lurahnya, bukit-bukaunya, di sungai-sungainya, di daratan dan di lautannya, di tanah lapang dan di tanah hutannya, dan juga di mana saja. Kemudian, makanlah rezeki-rezeki yang ALLAH taburkan di setiap pelosok dan tempat itu.

Seterusnya, di dalam ayat yang lain, ALLAH ada menceritakan kepada kita lagi tentang perkara yang harus melalui Kalam-Nya:

Terjemahannya: Wahai manusia, Kami telah menjadikan kamu bermula daripada lelaki dun perempuan. kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu berkenal-kenal di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah yang paling bertaqwa dikalangan kamu. (Al Hujurat: 13)

Di dalam ayat ini ALLAH menerangkan kepada kita betapa ALLAH jadikan manusia ini bermula daripada pertemuan antara lelaki dan perempuan, iaitu Nabi Adam as. dan isterinya Siti Hawa. Dari situ, berkembang biaklah manusia menjadi berbagai-bagai kaum dan puak. Timbul bangsa-bangsa yang berbagai rupa dan berbagai warna kulit. Ada bangsa Melayu, Cina, India, dan lain-lainnya. Ada yang bertubuh besar, ada yang kecil, ada yang bermuka lebar, ada yang bermuka bulat dan sebagainya. Kemudian ada yang berkulit putih, hitam dan sebagainya.

Tidak ada perbezaan di antara puak-puak dan kaum-kaum ini. Kerana itu, hendaklah manusia berkenal-kenal dan berkasih sayang antara satu sama lain, tanpa mengira warna kulit. Walaupun tidak ada perbezaan di antara manusia yang dijadikan itu, namun kata ALLAH, yang paling baik di antara manusia ialah yang paling bertaqwa. Tidak kira dia hitam atau putih, Melayu atau India dan sebagainya. Di sisi ALLAH, orang yang paling bertaqwalah yang paling baik.

Jadi inilah juga perkara harus yang ALLAH telah jadikan. Tidak wajib bagi ALLAH menjadikan datuk kita yang pertama iaitu Nabi Adam a.s. dan juga nenek kita yang pertama iaitu Siti Hawa yang dari situ berkembang biaknya manusia ini.Adalah harus saja bagi ALLAH. Dan tidak pula mustahil kerana kita ini sudah pun ALLAH jadikan.

Kemudian ALLAH ceritakan lagi melalui Kalam-Nya:

Terjemahannya: Kami telah menjadikan untuknya pendengaran dun penglihatan.(Al Insan: 2)

Di dalam ayat ini pula ALLAH menceritakan kepada kita bahawa ALLAH telah menciptakan manusia ini boleh mendengar dan melihat, dengan dikurniakan telinga dan mata. Ini pun harus sahaja bagi ALLAH. Kalau ALLAH hendak adakan kita bermata dan bertelinga, maka jadilah kita bermata dan bertelinga. Tetapi kalau ALLAH tidak mahu adakan itu semua, pun boleh juga. Tidak wajib untuk ALLAH menjadikannya dan tidak pula mustahil kerana ALLAH sudah memilih untuk menjadikan mata dan telinga itu untuk kita melihat dan mendengar.

Demikianlah kita diberitahu melalui Kalamullah tentang perkara-perkara yang wajib, yang mustahil serta yang harus. ALLAH telah menceritakan semua itu untuk pengetahuan kita.

Sifat dan Bentuk Kalamullah

Mengenai sifat dan bentuk Kalamullah, ia tidak berbilang-bilang. Tidak seperti makhluk macam kita; kata-kata kita adalah berbilang-bilang sama ada lafaznya mahupun hurufnya. Kalau kita sebut, “Saya hendak makan,” di dalam sebutan itu saja kita dapati lafaznya berbilang, dan kemudian ada huruf pula yang juga berbilang. Sedangkan Kalamullah tidak demikian. Kalamullah hanya satu bentuk saja. Kalau demikian, maka akan timbul juga persoalan pada kita iaitu bagaimanakah bentuk Kalamullah itu?

Untuk menjawabnya, kita kembali kepada pengertian hakikat sebenar sifat-sifat ALLAH iaitu: wallahu a’lam. Kita tidak dapat mengetahui hakikat sebenarnya; hanya ALLAH yang mengetahuinya. Kita serahkan sahajalah kepada ALLAH SWT. Kita tidak tahu hakikat sebenar Kalamullah pada azali Iagi. Cuma maksudnya, terjemahannya ataupun maknanya, itulah yang ada pada kita iaitu Kalamullah yang ada di dalam Al Quran.

Kemudian Kalamullah yang ada di dalam Al Quran itu, yang merupakan maksud atau terjemahan sahaja daripada Kalamullah yang ada pada azali lagi yang tidak berlafaz, tidak bersuara, tidak berbilang dan sebagainya, boleh diberi bermacam-macam nama mengikut kehendak Kalamullah itu sendiri. Umpamanya, kalau Kalamullah itu memperkatakan perintah suruh, ia dinamakan amar. Di dalam Al Quran, ada banyak sekali perintah yang dikatakan amar ini. Di antaranya:

Terjemahannya: Dan dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat.(Al Baqarah: 43)

ALLAH juga memerintahkan:

Terjemahannya: Dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk.(Al Baqarah: 43)

Di antara Kalamullah berbentuk amar lagi ialah seperti:

Terjemahannya: Wahai manusia, sembahlah Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu dan Orang-orang yang sebelum kamu.(Al Baqarah: 21)

ALLAH menyuruh manusia menyembah ALLAH yang telah menjadikan mereka. Jangan menyembah ‘tuhan’ yang tidak menjadikan manusia iaitu ‘tuhan-tuhan’ palsu yang manusia cipta seperti tokong-tokong, patung-patung dan sebagainya. Semua itu bukan yang menjadikan jin dan manusia ini.

Kalamullah lain yang berbentuk amar ialah seperti:

Terjemahannya: Mintalah pertolongan dari ALLAH dengan bersabar dan bersembahyang.(Al Baqarah: 45)

Ertinya, ALLAH memerintahkan kita supaya sentiasa meminta pertolongan dari-Nya dalam bersembahyang dan dalam bersabar. Sungguhpun nampak saja sembahyang itu mudah (bacaannya mudah, perbuatan berdiri, rukuk dan sujud pun mudah) tetapi kalau ALLAH tidak bantu, kita akan merasa berat untuk bersembahyang. Mungkin kita sanggup membuat kerja-kerja berat tetapi tidak mampu untuk bersembahyang. Kerana itulah ALLAH perintahkan kepada kita supaya meminta pertolongan dari-Nya.

Umpamanya amat susah kita hendak bersabar bila orang kata kita dan bila berhadapan dengan penderitaan, dan susah juga hendak bersabar di dalam berjuang dan berjihad dan lain-lainnya. Kerana itu jugalah ALLAH perintahkan kita supaya banyak-banyak meminta pertolongan dari-Nya supaya kita memiliki sifat sabar dan supaya ALLAH menolong kita di dalam mengerjakan sembahyang. Sebab itu di dalam ayat yang lain, ALLAH berfirman:

Terjemahannya: Mintalah pertolongan dari ALLAH dengan sabar dan sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu amat berat sekali kecuali bagi mereka yang khusyuk.(Al Baqarah: 45)

Di sini terang-terang ALLAH mengatakan betapa hendak sembahyang dan hendak sabar itu amat berat sekali kecuali bagi orang-orang yang khusyuk saja. Bagi orang yang tidak khusyuk, tidak takut ALLAH, tidak rendah diri kepada ALLAH, tidak gerun kepada ALLAH, payah sekali untuk bersembahyang dan bersabar.

Demikian beberapa contoh Kalamullah yang berbentuk amar iaitu perintah suruh. Di samping Kalamullah berbentuk perintah suruh , ada juga Kalamullah yang berbentuk tegah atau disebut nuhi. Dan Kalamullah ini juga banyak terdapat di dalam Al Quran. Di antaranya:

Terjemahannya: Dan jangan kamu menghampiri zina. (Al Israk: 32)

Lihat begitu cantik sekali ALLAH memberi peringatan-Nya yang mana tegahan itu bermaksud “Jangan hampir kepada zina” bukan bermaksud “Jangan kamu berzina”. Ertinya, ALLAH mengingatkan manusia keadaan yang belum terjadi. Kalau sudah terjadi zina, tidak perlu diingatkan lagi. Hanya perlu dihukum. Sebab itu tegahan ALLAH itu melarang kita supaya jangan hampir kepada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Dan ALLAH tidak mengatakan Jangan berzina”.

Samalah kalau kita melarang anak kita daripada masuk ke dalam perigi. Kita tidak kata, “Jangan masuk perigi” tetapi kita akan sebut, “Jangan hampir dengan perigi “. Sebabnya, kalau sudah jatuh, tentunya tidak bermakna lagi. Sebelum jatuh itulah perlu diingatkan. Kerana itu dalam soal zina, ALLAH larang manusia dari hampir kepada perkara-perkara yang boleh menimbulkan zina seperti bergaul bebas, mendedah aurat, bersiar di tempat-tempat maksiat, dan banyak lagi unsur yang lain. Unsur-unsur ini mesti disekat lebih awal.

Dan sebab itulah ada keterangan Hadis yang mengatakan, kalau kita melihat perempuan yang bukan muhram hingga menimbulkan syahwat, maka itu dinamakan zina juga iaitu zina mata. Begitu juga kalau kita mendengar suara perempuan hingga menimbulkan nafsu syahwat, itu dikatakan zina telinga. Kita pegang pula badan perempuan; itu dikatakan zina tangan. Dan kalau kita hidu bau minyak wanginya atau bau bedaknya, itu dikatakan zina hidung. Jadi, kata Rasulullah, semua itu adalah zina. Begitu juga kalau fikiran sudah khayal dengan perempuan; itu dikatakan zina fikiran.

Di dalam ayat yang lain, ALLAH memberi tegahan-Nya melalui Kalam-Nya:

Terjemahannya: Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, bertenung nasib dan (menyembah) berhala, itu semua adalah perkara keji dari permainan syaitan. Oleh itu jauhilah agar kamu mendapat kemenangan (di dunia dan di Akhirat).(Al Maidah: 90)

Di sini ALLAH memerintahkan kita agar menjauhkan diri daripada empat perkara iaitu minum arak (serta perkara-perkara yang ada kena-mengena dengan arak, menjual, mengedar, mengilang dan lain-lainnya), berjudi, bertenung nasib serta menyembah berhala dan patung-patung. Semua itu permainan syaitan, sedangkan syaitan adalah musuh kita.

Kalau empat perkara ini dapat kita tinggalkan, kita adalah golongan orang yang mendapat kemenangan di dunia dan di Akhirat. Tetapi kalau empat perkara ini masih ada, walaupun kita kata berjaya tetapi sebenarnya tidak berjaya. Atau kita kata bersih tetapi sebenarnya tidak bersih, atau kita kata hebat tetapi sebenarnya kita tidak hebat, atau kita kata menang tetapi sebenarnya kita tidak menang. Sebabnya, kita telah berlawan dengan kata-kata ALLAH.

Di antara Kalamullah yang mengandungi perintah nahi lagi adalah seperti:

Terjemahannya: Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu memilih orang-orang yahudi dan orang-orang nasrani itu sebagai pemimpin.(Al Maidah: 51)

Di sini ALLAH melalui Kalam-Nya memerintahkan kita supaya jangan sekali-kali melantik orang-orang yahudi dan nasrani (kristian) menjadi pemimpin dalam masyarakat, negara atau apa saja.

Kemudian, Kalamullah juga ada yang berbentuk cerita dan ini diuamakan ‘khabar’. Umpamanya di dalam Al Quran ada diceritakan tentang Firaun. Dikisahkan tentang penzalimannya, penindasan yang dilakukannya, kejahatannya, kekufurannya dan lain-lain sifatnya. Begitu juga kisah Hamman, Namrud dan lain-lain. Di antara Kalamullah ini ialah:

Terjemahannya: Sesungguhnya Kami utuskan sebelum kamu (wahai Muhammad) rasul-rasul untuk puak-puak di zaman dahulu. Dan tidak datang seorang rasul pun kepada mereka melainkan mereka selalu memperolok-olokkannya. Sikap keji itu Kami campakkan kepada orangorang yang hatinya berdosa(jahat) .(Al Hijr: 10-12)

Di sini ALLAH mengkhabarkan tentang sikap umat- umat zaman dahulu yang kepada mereka juga diutus rasul-rasul tetapi mereka memperhina dan memperolokkannya, malah ada yang mereka bunuh. Dan seterusnya ALLAH mengkhabarkan betapa bukan saja berlakunya sikap seperti itu kepada umat zaman dahulu tetapi juga kepada umat Rasulullah di kemudian hari.

Umat-umat di kemudian hari seperti di zaman kita ini sudah tidak dihantar rasul-rasul atau nabi lagi tetapi tetap ada pewaris perjuangan mereka seperti tuk-tuk guru, ustaz-ustaz, pendakwah-pendakwah dan sebagainya yang terus bergelanggang di tengah masyarakat. Ketika mereka ini membuka kelas-kelas pengajian, mengadakan usaha dakwah dan sebagainya, mereka juga akan diejek-ejek dan diperolok-olok. Jadi sama saja sikap orang zaman dahulu dengan orang di kemudian hari di zaman kita ini.

Ejekan itu berlaku dalam pengalaman kita hari ini. Orang-orang yang hendak menyampaikan ajaran ALLAH (bersifat rasul majazi, bukan rasul hakiki kerana rasul hakiki yang terakhir ialah Rasulullah) mereka ejek sebagai songsang, terbalik, kolot, ortodoks, ketinggalan zaman dan lain-lainnya. ALLAH mengkhabarkan kepada kita melalui Kalam-Nya bahawa golongan ini ialah orang-orang yang hatinya sudah kotor, jahat dan penuh dosa.

 

Artikel ini adalah bagian dari buku Aqidah Mukmin Siri 2 yang berisi buah fikiran dan ilham dariAbuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Artikel Terkait :

Silahkan Berkomentar

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

 
%d blogger menyukai ini: