Abuya Ashaari bin Muhammad At Tamimi
Posted by Aliey Faizal pada 7 Juni 2012
Abuya dilahirkan Tuhan ke dunia adalah untuk jadi pejuang. Jiwanya, fikirannya dan seluruh fizikalnya memang dipersiapkan untuk berjuang. Perjuangan Islam adalah minatnya, kesukaannya, darah dagingnya, jiwa raganya, akal fikirannya dan hidup matinya. Pendeknya dia sanggup buat apa sahaja untuk menyampaikan cita-cita perjuangannya.
Waktu berumur 4 tahun, masa itu ibunya masih hidup, dia akan ikut ibunya setiap hari ke kebun menanam dan menjaga pokok ubi kayu. Berjalan kaki 4 batu pergi, 4 batu balik tanpa kasut, berlari terkedek-kedek di belakang ibunya seawal umur 4 tahun adalah satu latihan kepada seorang pejuang yang bukan calang-calang.
Kemudian di umur 5 tahun, dia kehilangan (kematian) ibu, sedangkan bapanya selalu tiada di rumah. Maka dia kena menjaga adik perempuan yang berumur 3 tahun. Dukung adik di belakang, berjalan di atas bendang dan selalu terjatuh ke dalam bendang adalah pengalaman biasanya. Seorang pejuang sangat patut menjalani hidup yang keras.
Umur 6-7 tahun sudah mula masak nasi dan goreng ikan untuk makanannya. Dengan dapur kayu yang ambil masa juga untuk dinyalakan, di rumah yang dindingnya atap adalah cara hidup yang dipaksakan padanya demi melahirkan peribadi pejuang yang sabar, gigih dan cerdik. Bila baju koyak (memang zaman Abuya masih kecil, pakaian susah didapati), Abuya akan jahit sendiri menggunakan benang tali nenas. Malam-malam dengan jamung, bawa botol bersama ibunya (waktu masih hidup), dia pergi tangkap belalang untuk goreng buat lauk. Makanan waktu kecil juga ialah biji getah (selama 2 tahun) dan daun kalilayau. Pernah terjadi ketika makan sayur kalilayau itu terdapat lintah di dalamnya. Demikianlah peritnya hari-hari, hidup yang dijadualkan untuk seorang pejuang. Seribu satu jenis penderitaan bagaikan sebuah perjalanan biasa untuknya. Ringkasnya dapat digambarkan melalui sajaknya seperti berikut:
Tidak hanya bertarung dengan hal-hal lahiriah, Abuya diberi pengalaman untuk menghadapi hal-hal ghaib. Di Pilin lagi, suatu hari menjelang Maghrib, ketika sedang melajukan basikal di celah-celah hutan berpokok besar di Pilin, tiba-tiba terdengar suara perempuan dari atas satu pokok besar, “Tunggu, tunggu.” Abuya dengan kawannya memberhentikan basikal dan dengan nyaring membacakan ayat Kursi lalu menghalakan ke atas pokok untuk `berperang’ dengan hantu itu.
Di Segambut pun dia pernah diganggu jin ketika bermain di satu parit air di lembah bukit. Meracau-racau dalam kelambu, tidak boleh tidur. Jenuhlah datuk dan nenek tiri menguruskannya. Betapa dewasa dan matangnya Abuya dengan semua ini, walhal umurnya masih kanak-kanak waktu itu.
Pemimpin besar itu dilahirkan dari dunia cabaran dan ujian yang besar-besar juga. Mampu melepasi semua itulah, bukti kelayakan untuk mengambil risiko kepimpinan. Kerja paling susah ialah memimpin. Seorang yang tidak tahan dengan ujian kecil pun, masakan mampu melepasi ujian kepimpinan maha besar itu.
Alkisah Abuya ini hidupnya betul-betul terbiar macam lalang. Membesar sendiri, terpulang apa nak jadi. Logiknya Abuya cukup hanyut atau cukup inferior (sakit jiwa). Mustahil dia boleh jadi orang yang sangat berguna! Bagai melihat sebuah filem, perihal seorang budak kampung yang malang, hidup dari tangan ke tangan, semua fikir sendiri, hidup urus sendiri, keputusan buat sendiri, sedangkan persekitaran sangat rosak, tentu kita akan simpulkan sebuah `ending’ yang malang untuk filem ini.
Namun tidak rupanya. Kesusahan telah bertukar menjadi suatu pendidikan yang gemilang, maha berguna, maha tinggi dan cukup hebat. Maka skrip itu mengambil suatu kesudahan yang amat luar biasa, bahawa Si Malang rupanya seorang penyelamat yang datang untuk menyelamatkan dunia.
Abuya kata, banyak tafsiran dan huraian ilmu agama yang dibuat oleh ulama-ulama zaman persekolahannya yang dia tidak boleh terima. Dia tidak setuju. Hatinya menolak walaupun beliau sayang dengan mereka, kerana ibadah mereka yang banyak dan akhlak yang baik, rajin mengajar, namun fikiran mereka tentang hidup menurut agama dan sikap hidup mereka dalam banyak hal, Abuya rasa bukan lagi agama suci. Sudah bercampur-campur akal dan nafsu.
Sebenarnya Abuya sendiri tidak faham mengapa dia jadi begitu. Dia sendiri tiada hujah untuk mempertahankan pendiriannya. Cuma hatinya yang kuat merasa begitu. Jadi dia diamkan saja hal itu, simpan dalam-dalam di hatinya yang tersembunyi, siapa pun tidak tahu.
Namun rasa tidak puas hati itu sesekali terbocor juga.
Pada tahun 1957, umurnya 20 tahun, waktu itu di sekolah menengah rendah (sanawi) tingkatan 3, Maahad Hishamuddin. Pagi dia bersekolah, petang jadi guru agama kerajaan di Sekolah Rendah Agama Sungai Udang. Katanya, tahun itu tiada peperiksaan akhir. Jadi semua pelajar tidaklah bersedia. Tapi tiba-tiba last minute diumumkan ada peperiksaan. Terkejutlah semua pelajar, maka Abuya bersama 3 orang guru lain merancang mogok. Mereka berjaya mempengaruhi 10 orang guru lain. Disokong juga oleh 3 kelas pelajar menengah. Kelas rendah tidaklah dilibatkan.
Maka pada hari peperiksaan, mereka ikut masuk dewan periksa. Tapi tidak menjawab soalan periksa, hanya menyerah kertas kosong!
Begitu sekali protes dirancang dan dijayakan. Konon waktu itu, itulah perjuangan. Memang satu rekod.
Akibat itulah semua guru-guru yang mogok itu dihantar mengajar, menjadi guru sekolah agama. Abuya dipindahkan ke Sungai Nibong (Tanjung Karang) pada tahun 1958, 70 batu jauhnya dari Klang. Menjadi guru di sana selama 2 tahun 5 bulan. Tamatlah persekolahan sedangkan beliau sangat ingin bersekolah lagi! Walhal sebenarnya bertarung dengan kehidupan realiti yang penuh cabaran dan halangan yang perlu dijawab dan ditangkis setiap masa, adalah persekolahan tidak formal yang lebih mengajar dibanding sekolah formal. Kenyataan ini akan disokong oleh fakta dan kejadian yang berlaku dalam hidup beliau, bertolak dari seawal umur 20 tahun itu. Barangkali cukuplah tempoh formal itu untuk seorang pejuang, sebab terlalu banyak yang perlu dipelajari dalam realiti kehidupan yang akan cukup berguna bagi dirinya buat menghadapi perjuangan yang mula besar!
Abuya mengumpul wang untuk sambung belajar ke Singapura. Tapi bapanya memutuskan agar dia berkahwin. Betapa anak yang taat ini menghadapi pertarungan itu? Maka berkahwinlah juga akhirnya pada tahun 1957, di umur 20 tahun dengan Ustazah Hasnah Salim yang merupakan kawan sepengajian, mendapat 12 orang anak yang taat semuanya kepada Abuya.
Kahwin adalah satu tanggungjawab yang maha mencabar, sebuah persekolahan yang amat berkesan dalam membentuk peribadi seorang yang akan jadi pejuang. Pelajar di kelas formal tidak akan mendapat ilmu sebesar yang didapatkan oleh student di institut rumah tangga yang penuh pergelutan, kesusahan, pertentangan, kasih sayang dan tanggungjawab! Dan Abuya berjaya melepasinya. Sijilnya ini bukan sebesar PhD, bahkan berpuluh-puluh PhD boleh didapatkan di dalamnya untuk kelayakan menjadi seorang pemimpin, karier yang diperuntukkan padanya.
Tahun 1961, Abuya dipindahkan mengajar di Sekolah Menengah Agama Sungai Leman sebagai penolong guru besar selama setahun, jarak 4 batu dari Sungai Nibong. Dipindahkan Abuya dari masa ke masa, tempat ke tempat sepanjang sejarah hidupnya adalah kerana kontroversi perjuangan yang dicetuskannya.
Di Tanjung Karang, di luar waktu mengajar, Abuya menceburkan dirinya secara langsung dalam PAS. Yakni setelah peluang belajar tertutup sudah, cita-citanya dihalakan kepada `pekerjaan’ idamannya sejak kecil iaitu memperjuangan Islam. Kerana PAS dilihat bernama Islam, teruslah Abuya terjun ke dalamnya seawal umur 20 tahun iaitu pada tahun 1958. Kata Abuya, hendak buat perjuangan sendiri masih terlalu awal, masih muda, pengalaman tidak cukup dan ilmu pun tidak banyak. Maka eloklah menumpang-numpang dahulu cari pengalaman.
Namun Abunya memang sudah ada `stand’ sendiri. Hala tujuannya sudah ditetapkan, dasarnya sudah digarap dan kaedah sudah disiapkan dalam mind setnya sejak di Pilin lagi. Seperti dipaku ketat dalam diri Abuya walaupun di dalam seribu satu perubahan jenis dunia baru yang dimasukinya. Hal ini sungguh luar biasa di mana Abuya tidak terpengaruh oleh corak-corak lain yang cuba dicorakkan kepadanya. Dia mampu kekal dengan semata-mata satu corak yang diciptakan untuknya sejak dari dalam kandungan, ketika bayinya dan zaman kanak-kanaknya.
Maka mengajarlah Abuya di Sungai Leman selama setahun, tapi lepas itu yakni tahun 1962 ketika berumur 24 tahun, Abuya dilantik menjadi guru besar di sekolah menengah agama itu kepada 300 pelajar dan 4 orang guru. Sedangkan dalam masa yang sama, beliau aktif membangunkan PAS di Tanjung Karang.
Jiwa juang yang terus membakar jiwa yang begitu terpim pin, telah mencetuskan mogok kedua dalam hidupnya. Berpunca dari tidak setuju dengan maksiat yang dibuat di sekolah rendah dalam upacara sukan mereka yang letaknya bersebelahan dengan sekolah Abuya. Abuya menganjurkan demonstrasi bersama lebih kurang 1000 orang kampung yang terdiri dari orang PAS dan UMNO. Mereka berjaya diajak keluar bersama mogok protes itu, memaksa dua trak polis FRU datang mengawal. Mogok berakhir dengan aman atas persetujuan pihak sekolah rendah untuk membatalkan perayaan berbudaya kuning di sekolah mereka. Sehingga hujung tahun 1966, waktu Abuya meninggalkan sekolah agama itu, tiada lagi maksiat-maksiat yang ditentangnya itu. Empat tahun maksiat itu dihentikan.
Di luar waktu tugas rasmi, ada tugas tidak rasmi lain lagi yang Abuya wajibkan pada dirinya. Iaitu membangunkan jemaah PAS dengan membangunkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti berikut:
- Sebuah sekolah swasta
- Satu mini market
- Satu kilang roti dengan 17 tempat edaran
- Sebuah sekolah dewasa
- Aktiviti ceramah, dakwah dan kempen yang dibuat hampir setiap malam
Semua kegiatan itu sesungguhnya bukanlah cara PAS. PAS cuma badan politik, jadi cara Abuya tidak direstui oleh PAS Pusat. Dia cuba corakkan ikut apa yang dia faham tentang perjuangan Islam sedari kecil. Bermula dari keluarga, bangunkan jemaah dengan cara hidup Islam, besarkan sistem Islam dalam masyarakat. Dan itulah yang akan ditawarkan kepada dunia. Siapa ajar beliau di umur itu dan siapa bekalkan kefahaman itu dalam diri beliau? Dan bila dia berbuat, ada pula pengikutnya. Itu semua adalah persoalan ajaib yang mesti didapatkan jawapannya.
Tercabar sungguh dengan kemeriahan PAS Tanjung Karang, maka UMNO di situ telah membuat penentangan serius.
Melibatkan polis, jabatan agama dan macam-macam pergaduhan diundangkan pada Abuya. Antaranya, motosikal Abuya diletak garam dalam tempat minyaknya, pintu rumahnya diseal, `perang’ dalam masjid, polis kepung rumah atas tuduhan terlibat dengan konfrontasi Indonesia, ketika sedang mandi datang orang hendak pukul, motosikalnya dihalang di tengah malam waktu balik dakwah, hendak dipukul dan seribu satu macam lagi perang politik yang Abuya alami.
Waktu remajanya, hasil aktiviti beliau mencetuskan sebuah perjuangan politik berbau dakwah dan pembangunan kemasyarakatannya, dua kali beliau dipanggil ke pejabat agama Klang kerana tuduhan memecahbelahkan masyarakat. Namun semuanya Abuya dapat lepasi. Bahkan menerimanya sebagai asam garam perjuangan yang sedikit pun tidak menghalang beliau dari terus berjuang. Balik dari pejabat agama, perjuangan diteruskan lagi.
Pada tahun 1966, masih di Sungai Leman, Abuya ditimpa sakit yang teruk, rasa macam hendak mati. Empat bulan lamanya sakit malaria (kata orang). Setiap hari Abuya akan menggigil sakit bermula pukul 4.00 petang hinggalah membawa ke subuh. Lepas subuh, badannya kembali normal, boleh keluar rumah, tidak mengantuk dan tidak letih walhal semalaman tidak boleh tidur. Pukul 3.00 petang, Abuya cepat-cepat balik ke rumah untuk tunggu sakit. Selama 4 bulan dia menanggung ini semua. Puncanya Abuya tidak tahu dan dia tidak pergi ke hospital serta tidak ambil sebarang ubat hinggalah sembuh sendiri. Orang tidak percaya Abuya sakit.
Waktu mengalami sakit itulah Allah rezekikan mimpi-mimpi yang baik. Di antaranya dapat melihat Syeikh Mahmud Bukhari datang dan merepair (membentuk-bentuk) badannya supaya jadi lebih baik. Setiap kesempatan dapat tidur yang diperolehi di celah-celah sakit teruknya itu, rohnya melalui mimpi, mengalami perjalanan indah dari masjid ke masjid yang besar-besar dan cantik-cantik, bertemu ulama-ulama dan mengaji dengan mereka.
Tahun 1966, Abuya dilantik jadi Exco PAS Tanjung Karang. Begitu aktivitinya `menentang’ kerajaan maka Abuya dipindahkan lagi buat kali ketiga. Pindah ke Kuala Lumpur. Umur 26 tahun sudah sejauh ini perjalanan Abuya. Terlalu laju proses yang diambil untuk sampai ke destinasi yang amat jauh. Setiap hari bagaikan satu kursus diselesaikan di satu fakulti untuk esoknya tukar kursus di fakulti baru demi melengkapkan diri untuk menjadi orang besar zaman yang cita-citanya terlalulah besarnya!
Abuya akhirnya merubah diri menjadi pejuang tarekat, pejuang kasih sayang dan dakwah. Bukan lagi pejuang politik yang ganas. Tetapi sebelum berumur 30 tahun, Allah takdirkan dia sangat komited dengan PAS itu. Agaknya Allah mahu Abuya jadi sufi yang tidak jumud. Ertinya PAS betul-betul menghidupkan jiwa juang dan strategi-strategi namun semuanya dilunakkan oleh kefahaman sufinya. Kata Abuya, kalaulah dia tidak diubah oleh Allah, memang dia sangat garang. Pernah waktu dalam PAS, dalam bas dia sengaja cari tempat duduk yang membolehkan dia kempen. Kebetulan ada satu tempat kosong sebelah polis. Peluang keemasan itu Abuya gunakan untuk bersyarah kepada polis tersebut, menyindir-nyindirnya konon tidak Islam. Satu bas boleh dengar. Polis itu mencubit-cubit paha Abuya minta berhenti. Pemarah, panas baran dan berani melulu itulah akhlak buruk yang dididik dalam PAS.
Semangat perjuangan PAS yang tidak berdisiplin agama itu juga telah membentuk perangai buruk sekali, kata Abuya. Pernah di majlis ceramah, seorang pemidato PAS bercakap tanpa menghentam musuh! Abuya telah paksa dia naik bersyarah sekali lagi supaya kena dengan selera jahat PASnya itu. Hentam! Hal ini berlaku di Tanjung Karang.
Semua itu telah membuatkan Abuya akhirnya benci dirinya. Jiwanya Allah putarkan 360 darjah, dari begitu sekali semangat dan pengorbanan, dia akhirnya mengurung diri dan menangisi dosa-dosa. Dia rasa apa yang dibuatnya semua sia-sia belaka. Itu bukan cara Islam.
Orang yang tidak faham mengatakan dia kecewa dalam PAS. Tapi sebenarnya hatinya telah bertindak merubahnya. Memang kata Embah Mahmud itu, dia tahu Abuya pasti berubah dari perjuangan politik kepada tarekat sufi. Memang pun, sepanjang di dalam PAS dia tidak tinggalkan wirid Muhammadiah yang diamalkannya sejak berusia 13 tahun itu. Maka pada harinya seperti kata Sayidi Syeikh Suhaimi, Abuya pun ditukarlah oleh Allah. Sesuatu yang kalau tidak mengalami sendiri mungkin orang tidak percaya. Tapi realitinya Abuya memang berubah. Lepas dua tahun mengurung diri, membaiki diri, Abuya kembali ke gelanggang dengan memperjuangkan Islam seperti yang diidamkannya. Seolah-olah perjuangannya baru bermula.
Biografi Abuya
Usiaku telah menjangkau enam puluh tahun
Sepanjang umurku aku telah menempuh hidup berliku-liku
Cabaran demi cabaran menggugat kehidupanku
Masam, manis, masin, pahit maung telah aku rasai
Aku telah menempuh berbagai-bagai zaman
Satu kali adalah zaman Jepun yang ganas dan kejam
Dua kali berlaku zaman British yang halus diplomasinya
Di zaman peralihan ialah komunis mengganas 10 tahun
Sudahlah miskin, hidup pula dalam ketakutan
Setiap hari ada orang yang dibunuhnya
Ada kenderaan yang dibakarnya
Balai-balai polis yang diserangnya
Masa Jepun, papa kedana merata-rata negara
Sangat mengancam kehidupan termasuk aku dan keluarga
Ubi keledek sebagai nasi, itulah “beras A1”
makananku yang biasa di waktu itu
Adakalanya sehari sekali makan nasi atau pisang
Itu pun beras yang berdebu dengan kapur dicampur ubi
Ubi pun payah dicari
Sagu rumbia, buah getah makanan harianku yang istimewa
Makan nasi hanya 6 bulan atau setahun sekali
Pucuk-pucuk kayu, daun kalilayau, cendawan kulat
setiap hari aku makan
Pernah satu hari waktu hendak memakan sayur kalilayau
Terjumpa seekor lintah di celah daun
Untungnya di waktu itu ikan-ikan darat senang didapati
Bahan-bahan hutan mudah dicari
Kerana di masa itu bahan-bahan semula jadi
Belum dimusnahkan oleh pembangunan dan kemajuan
Zaman ini juga harimau, babi, buaya, ular,
mengganas di mana-mana
Kejamnya macamlah Jepun-Jepun
yang selalu menzalim orang terutama bangsa Cina
Hampir setiap hari lembu, kerbau, kambing dibahamnya
Zaman Jepun pakaian sangatlah susahnya
Sedikit-sedikit yang ada itu pun amat daifnya
Kain dan baju seribu tampungan
Bahkan setengah-setengah orang sudah ada
yang memakai daun-daun lebar yang keras
Atau kulit kayu yang diselimutkan di badan
Orang yang mati digulung sahaja dengan tikar mengkuang
kemudian dikuburkan
Rumah-rumah tempat tinggal
rata-rata macam rumah orang asli di hutan sekarang
Rumahku dan keluargaku semacam rumah mereka juga
tidak ada bezanya
Penyakit mengganas tidak ada orang yang terkecuali
daripada serangannya
Ubat-ubatnya tiada, kecuali ubat tradisi sahaja
Zat makanan kurang sekali
Apabila berkudis susah mahu sembuh
Sering sahaja berulat di dalamnya
Masjid surau terbiar kambinglah penghuninya
Di waktu itu orang beragama macam antah di dalam beras
Seluruh penduduk kampung kalau ada dua atau tiga orang
Yang sembahyang secara istiqomah sudah dibanggakan
Di zaman Jepun aku pernah kematian keluarga
Di dalam masa setahun empat orang
ibu, kakak, adik, pak cik
Perhubungan sangat sulit dan susah
Alat-alat perhubungan sangat payah
Menyeberang sungai melalui jambatan buluh
Atau setengah tempat menggunakan rakit buluh
Berjalan kaki menjadi basahan harian
Adakalanya berjalan kaki berbelas-belas batu jauhnya
Berbatu-batu naik kereta lembu sering berlaku
Naik kereta mungkin satu atau dua tahun sekali
biasanya lori
Pernah berlaku dua kali di zaman Jepun
kapal terbang Jepun datang
Satu kampung penduduk kampung lari ketakutan
termasuk aku yang masih kecil
Pernah aku melihat sebuah kapal terbang terbakar di udara
kemudian jatuh di tempat yang aku tidak tahu
Beberapa lama kemudian aku tahu
Sebuah kapal terbang British jatuh ditembak oleh Jepun
jatuh di Kampung Sawah Raja, Rembau
Di zaman permulaan British
kehidupan agak lebih baik sedikit
Namun kebatilan dan kemiskinan merata negara
Beras sudah ada, tepung seperti biasa
Tapi masih terbatas dan terhad
Pakaian sudah dijual merata-rata
Kebanyakannya kain belacu
Namun bermewah-mewah belum ada
Kalaupun ada golongan atasan sahaja
Itu pun hanya golongan terlalu minoriti
Pekerjaan sangat terbatas
Tidak seperti hari ini
Lumrah pekerjaan orang Melayu
ialah mata-mata, askar, cikgu
Kerani dan kastam satu dua termasuk ayahku
Perhubungan sudah ada tapi tidak selesa
Perjalanan satu jam di waktu ini
mungkin lima jam di waktu itu
Di zaman itulah aku dan keluarga naik bas turun bas
Masanya agak lama juga
Pergi ke Kelantan di zaman itu dua hari
baru sampai ke Kota Baru
Rata-rata orang Melayu masih jahil
dan mundur di dalam pelajaran
Buta huruf merata negara terutama penduduk desa
Yang berkelulusan universiti bilangan jari
Aku adalah termasuk orang yang terkorban
di dalam pelajaran di masa itu
Kalau aku ringkaskan sejarah hidupku secara umum
Dari zaman British hingga ke hari ini lebih kurang begini:
Jalan kaki budayaku, kereta lembu kenderaan istimewaku
Makan ubi, buah getah, sagu rumbia mengganti nasi
makanan utamaku
Pakaianku bertampung seribu, akulah yang tampung sendiri
Di waktu masih kecil lagi
Ketika ibu dan bapa tiada di rumah
Aku masak sendiri
Baju aku basuh sendiri
Koyak aku jahit sendiri
Belum bersekolah aku sudah pandai memancing sendiri
Hasilnya dibawa pulang
Duduk di gerobok buruk
Di waktu itu reban ayam sekarang ini
adalah lebih cantik dari rumahku
Kenderaanku silih berganti
Tidak ada melangkau, ia berlaku secara bertahap-tahap
Dia berlaku secara meningkat dan berperingkat-peringkat
Dari berjalan kaki
Kemudian naik basikal
hinggalah dapat beberapa orang anak
Berbasikal adakalanya berpuluh-puluh batu
Berkaki ayam biasa sahaja di zaman kanak-kanak
Enak saja tidak pula terasa kaki sakit
Selepas itu alhamdulillah lega sedikit
Boleh naik motosikal Honda 65, kemudian Honda 90
Setelah itu Allah memberi rezeki kereta Helman second hand
Kemudian Morris Minor second hand juga
Sesudah itu Holdan second hand pula
Kemudian sedikit demi sedikit bertambah canggih
Kereta Corolla permulaannya
Berpindah pula kereta Peugeot 404 kemudian 504
Setelah itu barulah Mercedes
Selepas itu kenderaanku adalah Pajero
Kemudian Mercedes MPV (multipurpose van)
Kenderaan awam kemuncaknya adalah kapal terbang
Jadi kehidupanku mengalami bermacam-macam
dan berbagai-bagai peringkat
Dari papa kedana, fakir miskin, senang, kaya biasa
Yang belum lagi kaya luar biasa
Di aspek-aspek lain yang teringat elok juga diceritakan
Disengat ikan sembilang, baung perkara biasa
Diserang penyengat bermacam-macam jenisnya
sering sahaja
Digigit lipan dua kali, satu kali disengat kala jengking
Keling keliak tidak terkira, mungkin puluhan kali
Dikejar oleh anjing, diburu oleh kera jantan
hampir digigitnya
Digigit lintah, pacat memang tidak boleh dielakkan
memang perkara biasa
Jatuh dari rumah, jatuh dari pokok berlaku juga
Pernah di rumah orang kenduri, sedang makan
serambi rumahnya roboh
Kuah gulai menyimbahi pakaianku
Di waktu itu hari pertama aku mengajar
sebagai guru kerajaan
Jatuh dari basikal berdarah lutut tidak boleh dilupa
Kereta masuk gaung, patah kaki lebih-lebih
lagi tidak boleh lupakan
Di waktu kecil beberapa kali lemas di sungai,
mujur dapat diselamatkan atau terselamat
Dicucuk paku dua kali pun merasa, parutnya masih ada
Kali kedua gelap mata beberapa ketika
Aku dipelihara dari satu tangan ke satu tangan
Dengan ibu dan ayah tidak sempat bermanja
Berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat
jadi budaya
Berpindah dari rumah setinggan ke rumah setinggan
cara menyewa perkara biasa
Di umur persekolahan, mengangkat air
cari kayu api, ambil pucuk paku
menyapu laman, tukang masak kerja saya
Tinggal merata-rata tempat, di kampung dan di bandar
Pernah tinggal di tengah hutan, di kebun getah,
di sawah padi, di tepi laut, di tepi kubur
Di dalam pendidikan banyak sekolah tempat belajar
dan mengajar
Berpindah dari sekolah ke sekolah
Di dalam perjuangan, Allah takdirkan
di dalam persekolahan lagi
sudah ada cita-cita perjuangan
Keluar sahaja dari sekolah, perjuangan pun bermula
Berbagai-bagai harakah Islamiah yang aku sertai
PAS, Jamiatul Dakwatul Islamiah, Ikhwan dan ABIM
Namun hati tidak puas
Semuanya aku tinggalkan
Aku bangunkan jemaah sendiri, Darul Arqam namanya
Sempat aku pimpin 28 tahun lamanya
Di dalam jemaah sendiri, ke luar negeri perkara biasa
Bahkan tinggal di luar negara berturut-turut
7 tahun lamanya
Di dalam jemaah, berbagai-bagai aktiviti
dapat dibangunkan
Hal ini tidak payah diceritakan
Ramai orang yang faham dan tahu ceritanya
Ujian-ujian di dalam perjuangan
Memang banyak yang dirasa
Tangga rumah dibuang, motosikal dibubuh garam
Beberapa kali hendak dipukul orang
Dipanggil ke Jabatan Agama dua kali disoal siasat
Kerana tidak senang dengan perjuangan yang aku lakukan
Pernah di waktu malam rumah dikepung polis
beberapa kali
Namun tidak menangkapnya
Tohmah, fitnah perkara biasa
Inilah yang paling banyak dilemparkan kepadaku
Akhir sekali aku ditangkap, diambil di luar negara
secara ekstradisi
Direman dua bulan, kemudian diasingkan di Rawang
di bawah akta ISA
Sekarang sudah memakan masa enam tahun
Namun belum dibebaskan lagi
Kalau aku panjang umur
Entah apa lagilah peristiwa-peristiwa yang akan berlaku
pada diriku
Tuhan sajalah yang tahu
Artikel Terkait :
Silahkan Berkomentar