Aliey Faizal

'Isy Kariiman Aw Muth Syahiidan

Bab 29 Dalil ALLAH bersifat wahdaniah

Posted by Aliey Faizal pada 29 Mei 2012

MATAN

Yang keenam – dalil Wahdaniah bagi ALLAH Taala iaitu kiranya tiada Tuhan itu esa (tunggal) nescaya tidak ada alam ini, kerana lazim Tuhan lemah ketika itu padahal alam telah ada maka nyatalah Tuhan itu esa (tunggal) dan dalil naqlinya:

Sekiranya ada Tuhan di langit dan di burni ini yang lain daripada ALLAH Taala nescaya binasalah keduanya (Tidak ada, runtuh dan keluar daripada aturan yang ada). (Al Anbiya’: 22)

Adapun keterangan atau kenyataan yang menunjukkan binasa alam atau tidak boleh ada alam jika berbilang-bilang Tuhan bagaimana dalil aqli dan naqli yang di atas ini terbahagi atas empat kenyataan.

  1. Ditaqdirkan berbilang Tuhan pada menjadikan hal keadaan bersama-sama muafakat serta tidak bertolong-tolong satu dengan lain iaitu mustahil kerana lazim berhimpun dua yang memberi bekas pada satu barang iaitu tidak terupa aqal boleh dibahagi-bahagi seperti menjadikan ; (benda yang maha halus tiada menerima belah bagi) atau satu titik yang tiada boleh dibelahbagikan, ditulis dua qalam.
  2. Ditaqdirkan berbilang Tuhan pada menjadikan hal keadaan muafakat tetapi separuh seorang menjadikan maka dihukumkan mustahil kerana lazim berat salah satu yang bersamaan dengan tiada yang memberatkan.
  3. Ditaqdirkan berbilang-bilang Tuhan pada menjadikan hal keadaan bersalah-salahan serta lulus kehendak keduaduanya seperti seorang berkehendak mengadakan malam dan yang lain berkehendak siang maka lulus kehendak kedua-duanya itu mustahil kerana berhimpun dua yang berlawanan (malam dengan siang).
  4. Ditaqdirkan berbilang-bilang Tuhan pada menjadikan hal keadaan bersalahan padahal lulus kehendak salah seorang daripada keduanya hukumnya mustahil kerana yang tiada lulus itu telah tetap lemah dan yang lulus itu pun lemah juga kerana bersamaan darjah keduanya.

Maka yang keempat misal yang di atas ini membawa lemah dan tidak boleh ada dalam serta menunjukkan mustahil pada akal.

SEBELUM kita menghuraikan matan yang menunjukan dalil-dalil ke atas sifat Wahdaniah atau sifat keesaan bagi ALLAH SWT ini, marilah kita mengulangkaji sepintas lalu tentang sifat Wahdaniah.

Pengertian Wahdaniah

Wahdaniah ertinya dalam bahasa kita ialah esa. Maksudnya, zat ALLAH SWT itu esa dan tunggal. Bila kita meyakini yang ALLAH SWT bersifat Wahdaniah atau bersifat esa, maka hendaklah kita memahami serta meyakini tentang lima kam (berbilangan) yang mesti kita nafikan ataupun mesti kita tolak, iaitu:

  1. kam muttasil () atau berbilangan yang berhubung pada zat.
  2. kam munfasil () atau berbilangan yang bercerai / pada zat.
  3. kam muttasil atau berbilangan yang berhubung pada sifat.
  4. kam munfasil atau berbilangan yang bercerai pada sifat.
  5. kam munfasil pada perbuatan. Di sini kita dapati kam munfasil hanya berlaku pada perbuatan dan tidak kam muttasil.

Kam yang pertama yang mesti kita nafiian ialah kam muttasil pada zat, iaitu berbilang-bilangnya muttasil pada zat. Maksudnya di sini ialah, zat ALLAH SWT tidak tersusun sepertimana zat-zat makhluk sama ada makhluk yang bernyawa seperti manusia atau jamadat seperti kayu-kayan, batubata, bukit-bukau, gunung-ganang dan lain-lainnya.

Zat makhluk seperti manusia umpamanya, tersusun daripada darah, daging, kulit; ada kepala, ada tangan, ada kaki, ada mata, ada rambut dan lain-lainnya. Tetapi ALLAH SWT tidak demikian. Zat ALLAH SWT tidak tersusun daripada darah dan daging, tidak tersusun daripada tulang, kulit dan sebagainya. Begitu juga zat ALLAH SWT tidak tersusun daripada kepala, tangan, kaki, mata, rambut dan lain-lainnya.

Kalau begitu, bagaimanakah zat ALLAH SWT? Jawabnya, wallahu a’lam. Hanya ALLAH sahaja yang maha mengetahui segala rupa dan kesempurnaan zat-Nya.

Kemudian, kam yang kedua yang mesti kita nafikan bila kita meyakini sifat Wahdaniah bagi ALLAH SWT ini ialah kam munfasil pada zat iaitu kam yang bercerai-cerai. Maksudnya di sini ialah, tidak ada zat Tuhan yang lain sepertimana zat Tuhan yang kita perkatakan tadi iaitu yang tidak tersusun dari sebarang anggota, tidak berdarah, tidak berdaging dan sebagainya. Ertinya, jangan sampai kita mengatakan, adanya zat Tuhan yang lain, sama seperti zat Tuhan yang kita sembah; Tuhan yang menjadikan alam, yang menjadikan langit dan bumi dan yang menjadikan kita semua. Inilah yang mesti kita nafikan atau yang mesti kita tolak sama sekali.

Begitu juga, kita menafikan kam yang ketiga iaitu kam muttusil pada sifat ALLAH SWT. Ertinya, kita menafikan berbilangnya sifat ALLAH yang berhubung. Seperti misalnya, tidak boleh kita mengatakan yang sifat Sama’ (mendengar) bagi ALLAH SWT itu berbilang-bilang dan berperingkat- peringkat. Atau tidak boleh kita mengatakan yang sifat Basar (melihat) bagi ALLAH itu berbilang-bilang dan berperingkat- peringkat. Ataupun, tidak boleh juga kita katakan yang sifat Qudrah (berkuasa) bagi ALLAH SWT itu berbilang- bilang dan berperingkat-peringkat. Dan begitu seterusnya bagi sifat-sifat yang lain.

Kita ambil satu contoh, bagaimana dikatakan yang kita tidak boleh mengatakan sifat ALLAH itu berbilang-bilang dan berperingkat-peringkat. Umpamanya, sifat Basar atau melihat bagi ALLAH SWT. Kalau dikatakan yang melihatnya ALLAH itu berbilang dan berperingkat, maka satu benda yang jauh itu ALLAH tidak dapat melihat atau kalaupun boleh melihat, benda itu nampak kecil ataupun halus sangat. Terlalu dekat sangat, tidak dapat pula dilihat sepertimana kalau satu benda itu terlalu dekat dengan mata kita, kita tidak boleh melihatnya. Maka tidak boleh kita katakan yang sifat ALLAH SWT pun demikian.

Begitu juga umpamanya, tidak boleh kita katakan yang sifat melihat ALLAH SWT, ketika di dalam gelap Dia tidak boleh melihat dan ketika di dalam terang baru Dia boleh nampak. Ini hanya menunjukkan yang sifat ALLAH itu berbilang- bilang dan berperingkat-peringkat. Sifat ALLAH tidak demikian sama sekali. Begitulah dan dengan sifat-sifat yang lain bagi ALLAH SWT; tiap suatunya tidak berbilang dan tidak berperingkat serta berdarjat. Keadaan mendengar ALLAH umpamanya, tidak pula yang dekat boleh didengar manakala jauh tidak didengar lagi, atau kalau ada suara baru ALLAH boleh dengar manakala kalau tidak ada suara ALLAH tidak boleh dengar. Semua ini hendaklah kita nafikan.

Yang mesti kita yakini ialah, sifat-sifat ALLAH tidak berbilang-bilang dan tidak berperingkat-peringkat sepertimana sifat makhluk. Melihatnya ALLAH umpamanya, sama saja, tidak kira jauh atau dekat, tidak kira dalam gelap atau dalam terang, tidak kira terlindung atau tidak terlindung; semuanya ALLAH boleh lihat.

Begitu juga dengan sifat Qudrah ALLAH, ia tidak berperingkat- peringkat dan tidak berbilang-bilang. Tidak seperti Qudrah kita misalnya, kalau kita hendak mengangkat satu benda kecil seperti sebatang pensil, cukup dengan dua jari saja tetapi kalau hendak mengangkat meja, terpaksa gunakan dua tangan dan kalau hendak mengangkat yang lebih besar dari itu terpaksa menggunakan seluruh tenaga, dan manakala hendak mengangkat yang lebih berat dari itu, terpaksa meminta pertolongan orang lain.

Qudrah ALLAH SWT tidak demikian. Kecil atau besar sama saja bagi ALLAH. Bagi ALLAH, cukup dengan Dia berkata, “Kun fayakun” – “Jadi” maka jadilah ia. Ertinya, bila ALLAH hendak jadikan sesuatu perkara itu sama ada kecil atau besar, bila ALLAH kata jadi, maka jadilah perkara itu dan bila ALLAH kata tidak jadi, tidak jadilah perkara itu. Sama saja pada ALLAH. Tidak ada peringkat-peringkat, tidak berdarjat-darjat dan tidak ada lebih dan tidak ada kurang. Dan begitulah seterusnya dengan sifat-sifat ALLAH yang lain; tidak berbilang-bilang dan tidak berperingkat-peringkat.

Kemudian, kam yang keempat yang mesti kita nafikan ialah kam munfasil pada sifat ALLAH SWT. Maksudnya, kita menolak dan menafiian adanya Tuhan yang lain yang mempunyai sifat-sifat seperti sifat Tuhan yang kita sembah; Tuhan yang menjadikan dan yang memusnahkan seluruh makhluk termasuk diri kita. Kita hanya meyakini bahawa tidak ada Tuhan yang lain yang mempunyai sifat-sifat sepertimana sifatsifat Tuhan yang kita sembah.

Dan kam yang kelima yang mesti kita tolak dan nafikan ialah kam munfasil pada af’al atau pada perbuatan ALLAH. Umpamanya, kita tidak boleh mengatakan adanya perbuatan Tuhan yang lain seperti Tuhan yang kita sembah, seperti ada pula perbuatan menjadikan langit yang lain oleh Tuhan yang lain, atau ada perbuatan menjadikan bumi yang lain oleh Tuhan yang lain, dan sebagainya. Ini tidak berlaku.

Begitu juga, tidak boleh kita katakan ada perbuatan Tuhan yang lain yang sama-sama berkongsi menjadikan langit dan bumi ini, misalnya. Ini juga tidak berlaku. Tetapi, yang sebenarnya, Tuhan itu esa atau tunggal, sama ada pada zat-Nya, pada sifat-Nya mahupun pada perbuatan-Nya. Jadi, esanya ALLAH SWT menafikan segala yang telah kita perkatakan tadi.

Demikian secara ringkas ulangkaji pengertian pada ALLAH SWT sebagai mengingat-ingat kembali pengajian itu kalau kita sudah terlupa. Mudah-mudahan dengan kita memahami pengertian esa itu, dapatlah kita meneruskan pengajian dalam bab ini iaitu perbahasan mengenai dalil-dalil aqli dan naqli ke atas sifat esa atau sifat Wahdaniah bagi ALLAH SWT.

Dalil Aqli

Dalil aqli tentang esanya ALLAH SWT ataupun tentang Tuhan itu bersifat Wahdaniah ialah, sekiranya ALLAH SWT tidak esa ataupun tidak tunggal, tentulah tidak ada alam ini. Kerana, lazim Tuhan lemah ketika itu padahal alam sudah ada. Maka nyatalah Tuhan itu esa.

Untuk menunjukkan dalil ini secara lebih terhurai supaya mudah dapat kita faham ialah keterangan menunjukkan binasa alam atau tidak boleh adanya alam ini jika berbilang-bilang Tuhan. Ada empat keterangan yang boleh kita bahaskan.

Yang pertama, kalau ada orang yang mengatakan Tuhan berbilang-bilang (tidak esa atau tunggal) pada menjadikan, yang mana hal keadaan Tuhan yang berbilang-bilang itu adalah muafakat tetapi tidak bertolong-tolong di antara satu sama lain (masing-masing buat hal dan bertindak sendirisendiri), maka pada pandangan akal, ini adalah mustahil. Ini kerana, berhimpun dua yang memberi bekas pada satu perkara.

Mustahil terjadi Tuhan itu berbilang-bilang pada menjadikan satu-satu perkara, hal keadaannya muafakat tetapi masingmasing bertindak sendiri, tidak membantu antara satu sama lain; lebih-lebih lagi dalam menjadikan perkara seperti juuhar fard (33 3;) iaitu suatu benda yang amat halus yang tidak boleh’dibelah lagi. Kalau menurut pengertian kita di zaman ini, perkara itu tentulah seperti suatu zarah yang paling seni. Jadi, pada pandangan akal, kalau benda yang paling halus seperti itu hendak dilakukan oleh dua yang memberi bekas, ini mustabil terjadi.

Kerana, kalau umpamanya dalam hendak menjadikan jauhar fard itu, ada yang dahulu membuatnya dan ada yang kemudian membuatnya kerana masing-masing bertindak sendiri, nanti berlaku pula tahsul hasil iaitu menjadikan benda yang sudah jadi.

Katalah dalam hendak menjadikan jauhar fard tadi, Tuhan yang pertama lebih dahulu membuatnya akan memberi bekas, maknanya benda itu jadi. Kemudian diikuti pula Tuhan yang kedua yang hendak membuat benda jauhar fard tadi yang keadaannya tidak boleh dibelah bagi. Dan perbuatannya member-i bekas juga. Itu maknanya tahsul hasil iaitu menjadikan benda yang sudah jadi.

Oleh yang demikian, dua perbuatan yang boleh memberi bekas dilakukan pada suatu perkara, lebih-lebih lagi perkara itu benda yang maha halus yang tidak boleh dibelah bagi; ini mustahil terjadi. Sedangkan alam ini sudah terjadi. Maka ini menunjukkan bahawa Tuhan itu esa atau tunggal – tidak berbilang-bilang.

Yang kedua, kalau ditaqdirkan berbilang-bilang Tuhan pada menjadikan dan hal keduanya muafakat seperti dalam contoh pertama tadi, cuma dalam hendak menjadikan satu-satu perkara kali ini, masing-masing membuatnya separuh seorang, ini yang dihukumkan mustahil mengikut pandangan akal. Kerana, lazim berat salah satu yang bersamaan dengan yang tidak memberatkan.

Dulu, kita telah bahaskan tentang sesuatu perkara yang asalnya tidak ada, tiba-tiba ia ada, maka adanya perkara itu sudah menjadi berat daripada yang asalnya tiada. Ertinya, perkara yang sudah ada itu tidak mungkin terjadi dengan sendirinya kalau tidak ada yang memberatkan atau yang menjadikan. Yang memberatkan atau yang mengadakan perkara itu ialah ALLAH SWT.

Oleh itu, hal keadaan yang kedua ini juga dihukumkan mustahil pada pandangan akal kerana lazim berat salah satu yang bersamaan dengan tidak ada yang memberatkan.

Yang ketiga, mustahil terjadi satu benda itu kerana kehendak yang berlawanan, tidak seperti dalam contoh kedua dan pertama, yang masing-masing muafakat.

Dalam hal ini, kehendak masing-masing tidak sama dan berlainan corak Yang satu hendak menjadikan siang dan yang lagi satu hendak menjadikan malam. Kemudian, ada yang mengatakan yang kedua-dua kehendak itu lulus. Bagaimanakah pertimbangan akal kita di dalam hal ini? Tentunya tidak mahu akal menerimanya kerana sebelum ini telah kita bahaskan tentang ilmu akal ini yang mana akal sekali-kali tidak mahu menerima dua perkara yang berlawanan terjadi pada satu masa. Seperti keadaan gerak dan diam. Dan keadaan itu tidak mungkin berlaku dan mustahil berlaku dalam satu ketika. Dan akal tidak mahu menerima akan berlakunya.

Begitu juga umpamanya malam dan siang. Tidak mahu akal menerima yang kedua-dua keadaan itu berlaku pada satu ketika. Ini mustahil.

Jadi, kalau ada orang mengatakan yang Tuhan itu berbilang- bilang pada menjadikan satu perkara yang bersalah-salahan kehendaknya atau tidak sama kehendaknya, seperti yang satu menjadikan siang dan yang satu hendak menjadikan malam dan kedua-duanya bejaya, ia dihukumkan mustahil.

Yang keempat, kedua-duanya hendak menjadikan perkara yang berlawanan atau satu perkara yang tidak sama. Katalah yang seorang hendak menjadikan satu bentuk dan yang lain pula hendak menjadikan bentuk yang lain. Dalam hal demikian, yang satu lulus dan yang satu tidak lulus. Yang tidak lulus kehendaknya itu sudah tentulah lemah kerana dia kalah tetapi yang lulus itu pun dianggap lemah juga kerana dia ada pencabar. Walaupun dia berjaya meluluskan kehendaknya tetapi sebelum itu dia dicabar. Ada ‘Tuhan’ lain yang mencabar dia. Kalau Tuhan ada yang mencabarnya, maka bukanlah Dia dianggap Tuhan lagi. Kerana kalau Tuhan itu dicabar, tentulah Dia lemah.

Demikianlah empat keterangan yang menolak keyakinan bahawa ALLAH SWT berbilang-bilang. Kalau ada orang yang menjadikan ini sebagai keyakinannya, kita mestilah menolak- nya. Sebabnya, setelah ditimbang dan dibahaskan secara akal, akal tidak mahu menerimanya. Hal itu semuanya mustahil dan tidak akan terjadi. Dan kalau begitu, nyatalah ALLAH SWT itu esa sama ada pada zat-Nya, sifat-Nya ataupun perbuatan- Nya. Demikianlah dalil secara aqli dan naqli yang bersumberkan akal fikiran.

Dalil Naqli

Manakala dalil naqli atau yang bersumberkan Al Quran untuk menunjukkan yang ALLAH SWT bersifat esa atau tunggal, terdapat di dalam surah Al Anbia’ :

Sekiranya ada di langit dan di bumi ini tuhan yang lain daripada ALLAH Taala nescaya binasalah keduanya (Al Anbia’: 22)

Dengan penafian dari ALLAH ini, jelaslah membuktikan bahawa ALLAH SWT bersifat esa atau tunggal. Sebabnya, ALLAH sendiri telah berkata bahawa kalau di langit dan di bumi ada ‘Tuhan’ yang lain dari ALLAH SWT dan di bumi pula ada ‘Tuhan’ yang lain dari ALLAH SWT, iaitu ‘Tuhan’ bersifat berbilang-bilang seperti yang didakwa oleh orangorang kafir, maka akan binasalah kedua-dua langit dan bumi. Ini adalah kerana, ‘Tuhan’ yang berbilang itu akan bergaduh sepertimana manusia bergaduh kerana hendak rebut kuasa. Bila masing-masing berperang sesama sendiri, bukan saja langit dan bumi akan binasa, bahkan kedua-dua ‘Tuhan’ itu juga akan binasa.

Rosak binasalah seluruh peraturan langit dan bumi. Tetapi, apa yang kita perhatikan, setiap perjalanan langit dan bumi tidak rosak apa-apa dan tidak tergugat langsung. Kalaupun ada rosak sedikit di sana sini pada peraturan-peraturan di bumi dan di langit itu, namun itu sengaja ALLAH rosakkan.

Kebinasaan itu sengaja ALLAH lakukan sebagai manun jukkan kekuatan-Nya kepada manusia, supaya manusia sedar betapa itu merupakan Qiamat sughro (Qiamat kecil) sebelum berlakunya Qiamat kubro (Qiamat besar). Seperti, ALLAH binasakan gunung-ganang sedikit-sedikit, ALLAH binasakan bukit-bukau serta kayu-kayannya sedikit-sedikit, ALLAH binasakan sungai-sungainya sedikit-sedikit, ALLAH matikan makhluk di sana sini sedikit-sedikit dan sebagainya. Ini semua untuk menyedarkan manusia betapa, suatu masa nanti, ALLAH boleh binasakan semua sekali serentak atau ALLAH boleh lakukan Qiamat secara total.

Cuma, ALLAH belum mahu lakukan lagi kerana ALLAH hendak mengingatkan manusia supaya sentiasa bersedia dan menyembah-Nya selalu. Inilah sebenarnya hikmah ALLAH membinasakan sedikit-sedikit langit dan bumi serta makhlukmakhluk- Nya. Faedahnya adalah untuk manusia itu sendiri.

Kemudian, penjelasan ALLAH SWT dalam ayat tadi boleh juga kita bahaskan secara pengalaman hidup kita atau secara apa yang berlaku di dalam kehidupan kita. Umpamanya, kalau satu negeri itu ada dua pemimpin yang masingmasing membuat arahan, bagaimanakah keadaan rakyat negeri itu? Tentulah kelam-kabut, dan negara tidak teratur lagi.

Ataupun di dalam satu jemaah umpamanya, ada dua pemimpin. Masing-masing pula ada kuasa dan boleh membuat arahan. Bagaimanakah keadaan pengikut dan keadaan jemaah itu? Pengikut-pengikut akan lintang-pukang dan jemaah itu tidak akan ke mana-mana. Jemaah itu tidak akan dapat membuat kemajuan kerana sentiasa bergolak dan berkrisis. Begitulah juga umpamanya, kalau sebiji kereta ada dua orang pemandu yang masing-masing hendak ikut haluan masing-masing, atau sebuah kapal ada dua nakhoda, yang akan binasa ialah kereta ataupun kapal itu.

Jadi dalam pengalaman kita, apa saja, sama ada kampung atau negeri, sama ada masjid ataupun surau dan lain-lainnya, kalau ada dua pemimpin sama ada pemimpin rasmi mahupun yang tidak rasmi, maka akan kacaulah jadinya. Akan timbul lah huru-hara. Dan begitu jugalah dengan hal keadaan langit’ dan bumi ini kalau ada dua Tuhan. Akan rosak binasalah langit dan bumi.

Tetapi kita lihat perjalanan langit dan bumi adalah baik. Matahari terbit seperti biasa dan begitu juga dengan bulan; sampai masanya ia akan timbul. Tidak pemah berlaku huruhara, sistem perjalanan bumi dan langit. Ini menunjukkan bahawa yang mentadbirkan langit dan bumi itu adalah satu; bukan dua, bukan tiga da bukan banyak. Satu saja yang menjadi pentadbir langit dan bumi ini. Satu itulah yang menjadikan, yang memusnahkan, yang mengatur dan sebagad inya. Sebab itulah perjalanannya baik.

Sebaliknya, kalau ada dua pentadbir, dua yang berkuasa menjadikan dan dua yang berkuasa untuk mengatur, masingmasing hendak mengatur mengikut jalan masing-masing seperti seorang hendak jadikan siang dan seorang pula hendak jadikan malam atau yang satu hendak terbitkan matahari sebelah timur dan yang satu hendak terbitkan matahari sebelah barat, tentulah bergaduh kedua-duanya. Masing-masing nanti akan menunjukkan gagah masing-masing. Masingmasing akan cuba hendak berkuasa di atas yang lain.

Tetapi oleh kerana perjalanan langit dan bumi ini teratur dengan baik, ia membuktikan bahawa yang menjadi pentadbir itu adalah satu dan esa. Itulah ALLAH SWT Ia tidak dua, tidak tiga dan tidak berbilang-bilang. Jadi, sama ada dalil aqli mahupun dalil naqli, ataupun dalil dari pengalaman hidup kita, semua itu menunjukkan bahawa ALLAH itu esa dan tunggal,

Bukti inilah yang mesti menjadi keyakinan dan pegangan kita. Sedikit pun kita tidak boleh rasa ragu; tidak boleh dicelah oleh sebarang syak, waham mahupun zan. Ertinya, keyakinan kita kepada keesaan ALLAH SWT hendaklah padu betul-betul. Dan itulah keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebaliknya, barang siapa yang keyakinannya bergoyang sedikit saja sama ada bergoyang secara syak atau secara zan ataupun secara waham, maka dia telah jatuh kepada syirik. Ataupun jatuh kepada murtad. Dan orang syirik ataupun orang yang murtad, kalau mati dan tidak sempat membetulkan semula aqidahnya, maka kekal abadilah dia di dalam Neraka. Sebab itulah, aqidah ini mesti kita jaga betul-betul

Mengenai keesaan ALLAH SWT tentang zat-Nya ini, mungkin bagi kita umat Islam tidak menjadi masalah apa-apa. Mungkin kita tidak ragu apa-apa. Tetapi ada benda yang kita tidak sedar, seolah-olah adanya sifat yang berbilang-bilang yang berkuasa. Hal ini boleh berlaku kerana kurangnya ilmu pengetahuan kita ataupun kerana kita jarang berhati-hati walaupun ilmu pengetahuan ada.

Umpamanya, dalam kita berbuat dan berusaha sama ada dalam mencari rezeki, mencari ilmu pengetahuan, berjuang dan berjihad, dan sebagainya, kita merasakan yang seolah-olah usaha ikhtiar itu sendiri yang memberi bekas. Ini sudah berbilang- bilang sifat ertinya. Kita sudah menganggap seolaholah sifat yang ada pada diri kita itu yang memberi bekas. Jadi, walaupun kita tidak mengatakan yang sifat ALLAH itu berbilang-bilang tetapi hakikatnya secara tidak langsung kita telah menganggap bahawa sifat ALLAH itu berbilang-bilang.

Yang sebenamya, keyakinan seperti ini sudah membawa kita kepada iktiqad qadariah. Pada iktiqad ini, yang dianggap memberi bekas ialah usaha ikhtiar itu sendiri. Kalau ia berbuat sesuatu seperti melagang ekonomi, mencari ilmu pengetahuan, membangunkan masyarakat, berjuang dan berjihad dan sebagainya, dia menganggap bahawa hasil dari dia berbuat itulah yang memberi bekas. Dia menganggap yang usaha dia itulah yang menjayakan, dan sebagainya. Lupa langsung hendak mengaitkannya dengan kuasa ALLAH.

Inilah yang sepatutnya kita bimbangkan kerana secara tidak langsung kita telah meletakkan sifat ALLAH itu berbilang- bilang. Cuma, sebagai umat Islam, hendak mengatakan secara terus bahawa sifat ALLAH berbilang-bilang, tidaklah kita berbuat begitu. Tetapi yang selalu terjadi, dalam kita menilai kejayaan usaha ikhtiar kita, secara tidak langsung kita telah meletakkan yang sifat ALLAH berbilang-bilang. Kerana di situ sudah berlaku dua sifat iaitu sifat Tuhan yang memberi bekas dan juga sifat makhluk. Kerana itu, jangan sampai kita terpaku dengan usaha ikhtiar kita hingga kita merasakan seolah-olah usaha ikhtiar kita itu yang memberi bekas. Hendaklah kita jaga sungguh-sungguh soal yang melibatkan aqidah ini.

Sebagai ingatan, kalau kita tersilap dalam syariat lahir seperti dalam persoalan feqah dan tasawuf, kita akan terjun ke Neraka tetapi tidak selama-lama di dalamnya. Sebaliknya, kalau kita tersilap di segi aqidah, apabila mati akan masuk Neraka dan kekal abadi selama-lama di dalamnya. Sebab itu, persoalan aqidah ini hendaklah kita fahamkan sungguh-sungguh dan kita pertahankan sungguh-sungguh. .

Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Untuk keselamatan kita, hendaklah kita berpegang sungguhsungguh kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah dijelaskan, dibahaskan serta dihuraikan oleh ulama-ulama sejak lebih seribu tahun dahulu, dan kini ada kitab dan bukunya. Kalau kita tidak tahu, yang sebenamya kita tidak membaca; itu saja.

Sedangkan, aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ini sudah jelas dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Jadi, sekiranya kita tidak faham dan tidak mengetahuinya, itu bukan kerana aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ini tidak tepat. Tetapi adalah kerana kelemahan diri kita sendiri kerana tidak belajar dan tidak mahu membaca kitab-kitab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah ditulis oleh ulama-ulama besar zaman dahulu.

Begitu juga keterangan tentang aqidah-aqidah yang terkeluar dari aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti muktazilah, khawarij, syiah dan lain-lainnya; semuanya telah jelas. Ia telah dibahaskan dan diperjelaskan oleh ulama-ulama zaman dahulu.

 

Artikel ini adalah bagian dari buku Aqidah Mukmin Siri 3 yang berisi buah fikiran dan ilham dari Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Artikel Terkait :

Silahkan Berkomentar

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

 
%d blogger menyukai ini: