Aliey Faizal

'Isy Kariiman Aw Muth Syahiidan

Bab 23 Sifat harus bagi ALLAH

Posted by Aliey Faizal pada 29 Mei 2012

DALAM bab ini, kita akan membahaskan sifat harus bagi ALLAH SWT. Sepertimana yang telah kita ketahui, sifat yang wajib bagi ALLAH SWT ada 20, dan sifat yang mustahil bagi-Nya juga ada 20. Tetapi sifat yang harus bagi hak ALLAH SWT hanya satu sahaja, iaitu harus bagi-Nya menjadikan segala makhluk atau segala yang baharu ataupun segala yang ada ini.

Ertinya, tidak wajib bagi ALLAH menjadikan segala makhluk atau segala yang ada ini, dan tidak wajib juga bagi ALLAH hendak mentiadakannya. Dan bukan pula mustahil bagi ALLAH menjadikan dan mentiadakan makhluk ini. Semuanya harus sahaja bagi ALLAH SWT.

Dalam bab-bab terdahulu, kita telah memperkatakan tentang makhluk iaitu segala kejadian selain dari ALLAH (ma siwallah) Yakni seluruh yang baharu atau yang ada ini; yang juga dikatakan seluruh alam sama ada alam manusia, alam jin, alam haiwan, alam tumbuh-tumbuhan, alam jamadat (batu, besi, tanah, langit, bumi, bulan, bintang dan lain-lain), Alam Barzakh, Alam Akhirat dan lain-lainnya. Semua itu harus saja bagi ALLAH untuk menjadikan serta mentiadakannya. Umpamanya, harus saja bagi ALLAH menjadikan manusia, menjadikan bumi, langit, bulan, bintang dan lain-lainnya. Tidak wajib bagi ALLAH menjadikan semuanya itu. Dan tidak wajib juga bagi ALLAH untuk mentiadakannya. Seterusnya, tidak pula mustahil bagi ALLAH untuk memperbuat kejadian-kejadian itu serta mentiadakannya.

Sekiranya wajib bagi ALLAH SWT mengadakan ataupun mentiadakan segala yang ada ini, maka kewajipan itu menandakan kemestian. Dan sekiranya mesti bagi ALLAH SWT mengada serta mentiadakan yang ada ini, maka seolah-olah ALLAH terpaksa mengada dan mentiadakannya. Kalau demikian, tentulah ada yang lebih berkuasa yang dapat memaksa ALLAH mengada dan mentiadakan segala yang ada ini. Kerana itulah tidak boleh kita katakan yang ALLAH SWT wajib mengada dan mentiadakan segala yang baharu ini.

Kemudian pula, sekiranya mustahil bagi ALLAH SWT untuk mengadakan segala suatu ini, maka bererti pulalah yang ALLAH tidak ada daya upaya untuk menjadikan segala sesuatu termasuk manusia. Sedangkan segala makhluk itu sudah pun terjadi dan telah dapat kita lihat dengan mata kepala kita sendiri. Ini bererti bahawa tidak mustahil bagi ALLAH untuk menjadikan segala yang baharu ini. Kerana kalau mustahil bagi ALLAH, tentunya seluruh yang ada ini tidak akan terjadi.

Dengan itu, nyatalah kepada kita bahawa terjadinya sekalian alam atau sekalian yang baharu ini adalah harus sahaja bagi ALLAH SWT. Ertinya, kalau ALLAH suka hendak menjadikan sesuatu perkara itu maka ALLAH jadikan, dan kalau ALLAH tidak suka hendak menjadikannya, maka ALLAH tidak jadikan. Cuma, apa yang telah terjadi ini seperti alam manusia, alam jin, alam jamadat, Alam Barzakh, Alam Malaikat dan lain-lainnya itu, memangnya telah ALLAH kehendaki untuk menjadikannya. Ertinya, memang sudah ALLAH pilih untuk menjadikannya, maka sebab itulah semuanya terjadi. Kalau taqdirnya ALLAH memilih untuk tidak menjadikan semuanya itu, maka sudah tentulah ianya tidak akan terjadi.

Katalah, ketika saudara sedang membaca buku ini, tidak berlaku hujan di tempat saudara. Keadaan demikian memang sudah ALLAH kehendaki. Tidak pula bererti wajib bagi ALLAH untuk tidak mengadakan hujan pada ketika ini kerana kalau wajib, bermakna ada pula yang menghendaki ALLAH berbuat demikian. Bermakna pulalah bahawa ALLAH terpaksa tidak mengadakan hujan itu. Sedangkan ALLAH tidak ada sesiapa yang memaksa-Nya.

Dan tidak pula mustahil bagi ALLAH untuk tidak mentiadakan hujan pada ketika ini. Kerana kalau mustahil, bererti ALLAH tidak ada upaya untuk menjadikan hujan. Sedangkan hujan telah kita lihat terjadi di dalam kehidupan kita. Jadi, tidak berlakunya hujan pada ketika ini di tempat saudara adalah harus bagi ALLAH dan sudah sememangnya dalam pilihan dan kehendak ALLAH SWT.

Seterusnya, di dalam kerajaan langit dan bumi yang ALLAH miliki ini, ALLAH mempunyai perintah dan kuasa- Nya. Firman ALLAH:

Milik ALLAH-lah kerajaan langit dan bumi ini. (Ali Imran: 189)

Ertinya, langit dan bumi serta seluruh isinya yang telah ALLAH jadikan secara harus ini, ALLAH mempunyai perintah dan suruhan-Nya. Apa saja yang menjadi suruhan serta perintah ALLAH di dalam kerajaan langit dan bumi-Nya, di dalam kekuasaan-Nya serta di dalam pentadbiran-Nya, semuanya itu boleh berlaku. Dan bagaimana bentuk suruhan serta perintah, semuanya boleh berlaku di dalam kerajaan ALLAH ini tanpa siapa yang boleh menahan. Tidak ada siapa yang boleh menyekat kehendak ALLAH SWT itu.

Segala apa yang berlaku di dalam kerajaan ALLAH ini sama ada di langit atau di bumi, mahupun di antara langit dan bumi, begitu juga yang berlaku di alam yang dapat kita lihat serta di alam yang tidak dapat kita lihat, semuanya di dalam kebijaksanaan ALLAH. Demikian juga, segala apa yang berlaku yang pada lahimya kita lihat dapat memberi mudarat kepada makhluk, ada mengandungi hikmah-hikmahnya yang hakikatnya adalah baik belaka pada pandangan ALLAH SWT. Cuma, kita saja yang tidak tahu menilainya kerana akal kita tidak sampai ke tahap itu.

Jadi yang sebenarnya, apa saja yang berlaku kepada makhluk, termasuk yang pada zahirnya seperti memberi mudarat kepada makhluk, semuanya itu ALLAH lakukan dengan keadilan dan kebijaksanaan-Nya. Semuanya mengandungi muslihat-muslihat yang membawa kebaikan kepada makhluk. ALLAH tidak menjadikan sesuatu itu untuk memberi mudarat kepada makhluk-Nya, khususnya manusia.

Cuma, kadang-kadang sesuatu itu kita nampak seperti tidak baik dan tidak adil dilakukan oleh ALLAH, tetapi yang sebenarnya mengandungi hikmah dan kebaikan yang tidak dapat kita nilai dan cungkil disebabkan terhadnya kekuatan akal kita. Dan kebaikan itu sebenamya kembali kepada makhluk itu sendiri. Di situlah letaknya keadilan ALLAH ke atas makhluk-Nya. Ini ditegaskan oleh ALLAH sendiri di dalam firman-Nya:

Tidaklah Tuhanmu bersikap zalim terhadap hamba-hamba- Nya. (Fussilat: 46)

Jelas yang ALLAH tidak sekali-kali menzalimi hambahamba- Nya melalui apa yang dilakukan-Nya secara halus itu. Walaupun setengah-setengah perbuatan itu seperti memberi mudarat kepada hamba-Nya, namun segala-segalanya adalah baik belaka untuk hamba-hamba-Nya. Yang menzalimi diri sendiri ialah hamba-hamba-Nya jua, kerana tidak dapat menilai hikmah-hikmah yang tersirat di sebalik kejadian ALLAH itu. Oleh kerana kekuatan akal manusia tidak dapat menilai hikmah kejadian ALLAH itu, maka timbullah sikap-sikap yang lain atau bentuk-bentuk tindakan yang merosakkan diri sendiri bila berhadapan dengan apa yang telah ALLAH jadikan itu. Padahal ALLAH tidak bertujuan untuk merosakkan.

Dalam hal ini, cuba kita bahaskan tentang kejadian manusia ini misalnya. Kita lihat ada yang gemuk, ada yang kurus, ada yang pendek, ada yang tinggi, ada yang miskin, ada yang kaya, ada yang cantik, ada yang buruk, ada yang bijak, ada yang bodoh, ada yang sempurna kejadian, ada yang cacat kejadian, ada yang sihat dan ada yang tidak sihat. Kalaulah kita nilai setiap kejadian itu dengan kekuatan akal kita yang terbatas ini, kelak kita akan membuat kesimpulan yang ALLAH tidak adil. Seolah-olah ada pihak-pihak tertentu yang teraniaya.

Padahal yang sebenamya tidak ada yang teraniaya dan tidak ada yang terzalim. ALLAH maha mengetahui segala kejadian-Nya. Segala muslihat kebaikan itu kembali kepada manusia jua.

Katalah ALLAH jadikan semua manusia ini cerdik-cerdik belaka. Tentulah semuanya mencapai taraf profesor. Akibatnya, tidak ada siapa yang hendak mengaji lagi kerana semuanya sudah pandai-pandai belaka. Kalau demikian, tentulah tidak ada pertemuan. Akhirnya tidak ada masyarakat. Sebaliknya, kalau ALLAH jadikan semua manusia ini bodoh-bodoh belaka, keadaannya sama berat. Orang bodoh tentulah tidak akan mengaji kepada yang bodoh.

Tetapi, oleh kerana ALLAH jadikan manusia ini ada yang cerdik dan ada yang bodoh, maka tercetuslah pertemuan. Orang yang cerdik akan terasa dirinya cerdik kerana ada orang yang bodoh yang hendak mengaji dengannya. Daripada pertemuan itu, maka lahirlah kasih sayang, tolong-menolong serta pertalian kerjasama antara yang bodoh dengan yang cerdik. Akibatnya, terjadilah masyarakat. Di sinilah hikmahnya mengapa ALLAH jadikan manusia ini ada yang bodoh dan ada yang cerdik. Terhasil perlu-memerlukan antara satu sama lain; yang cerdik memerlu kepada yang bodoh kerana kalau tidak ada yang bodoh tentunya tidak ada yang menilai dia cerdik. Yang bodoh pula memerlu kepada yang cerdik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Yang demikian, lahirlah jemaah.

Begitu jugalah hikmahnya ALLAH jadikan ada yang kaya dan ada yang miskin. Sekiranya ALLAH jadikan manusia ini kaya-kaya belaka, maka tidak ada siapa yang memerlukan upah lagi. Akibatnya, kalau kita hendak membuat rumah pun, tidak ada siapa yang hendak membuatnya. Terpaksalah kita duduk di tengah padang macam ayam dan kambing; kita hanya kaya dengan wang ringgit. Tetapi kerana adanya yang kaya dan yang miskin, maka timbul perlu-memerlukan tenaga. Hasilnya, lahirlah pertemuan dan timbullah perpaduan dan kasih sayang. Wujudlah jemaah di kalangan manusia. Perhatikanlah betapa cantik dan indahnya kejadian ALLAH SWT itu. Jadi, dengan meninjau beberapa hikmah kejadian itu saja, dapatlah kita perhatikan betapa ada faedahnya ALLAH jadikan manusia ini dengan berbagai-bagai kejadian. Dengan kejadian yang berbeza-beza itu, tercantumlah perpaduan serta kasih sayang kerana masing-masing perlu-memerlukan antara satu sama lain.

Dengan kejadian yang berbeza-beza itu juga, barulah terasa kepada manusia ini rasa kuat dan juga rasa lemah. Ertinya, adakalanya satu-satu pihak merasa dirinya kuat tetapi pada kala yang lain dia akan merasa dirinya lemah. Di sini besar hikmahnya kerana kalau manusia ini.merasakan yang dia kuat sentiasa, maka dia akan menjadi orang yang sombong dan takabur. Manakala kalau manusia ini merasakan dirinya lemah sentiasa,, maka dia akan menjadi orang yang hina diri.

Tetapi, dalam pada dia merasakan dirinya lemah, ada kala-kalanya dia juga merasakan yang dia ada kekuatan. Orang miskin misalnya, di samping dia merasakan dirinya lemah, namun dia boleh berbangga kerana ada khidmatnya kepada orang kaya. Orang kaya memerlukan tenaganya untuk membuat kerja itu dan ini seperti membina rumahnya. Kalau tidak ada orang miskin, tentulah orang kaya pun duduk di tengah padang. Kerana itu, orang kaya tidak boleh sombong dengan kekayaannya kerana kalau kekayaannya itu tidak boleh membeli khidmat orang miskin, tentulah kekayaannya itu tidak ada nilai. Nilai kekayaan itu ialah dengan adanya orang yang memerlukannya.

Begitu besar hikmahnya mengapa ALLAH jadikan manusia ini berbeza-beza. Kerana daripada kejadian itu akan membawa manusia kepada perimbangan rasa antara lemah dan kuat. Si miskin adakalanya merasakan dirinya lemah tetapi dapat juga merasakan dirinya ada kekuatan kerana ada sumbangan dan jasanya kepada masyarakat dan negara. Ketika dia merasakan dirinya lemah, dia akan ingat kepada kebesaran ALLAH. Seperti jugalah dengan si kaya. Ketika dia merasakan dirinya lemah, dia akan merasakan pula kebesaran ALLAH. Tidaklah dia sombong memanjang. Dan orang miskin pula tidaklah sentiasa merasakan dirinya hina kalau keadaan demikian sentiasa berlaku. Tidaklah dia akan merasa kecewa dengan ALLAH. Rasa demikian amat merbahaya.

Sebab itulah bila ALLAH telah meletakkan diri kita di dalam sesuatu suasana, hendaklah kita redha. Jangan sekalikali kita berdukacita dan jangan sekali-sekali kita bersusah hati kerana setiap orang itu ada nilainya. Pokoknya, suasana yang ALLAH letakkan pada diri kita itu dapat kita letakkan pada tempatnya yang sebenar. Cuma, kalau manusia itu tidak boleh menilai dirinya sendiri, maka dia akan tersalah dan bersikap secara yang tidak dikehendaki oleh ALLAH.

Umpamanya, bila seseorang itu dijadikan hodoh, dia mula mengeluh dan merasa kesal. “Mengapa orang itu cantik tetapi aku ini hodoh!” Tidak boleh kita berkata demikian. Atau kalau kita miskin, kita mengeluh, “Aku ni miskin. Hidup aku pun tak serupa orang.!” Mana boleh kita berkata demikian kerana masing-masing yang dijadikan ALLAH itu ada nilainya. Kalau kita miskin, maka kenalah kita letakkan diri kita sebagai orang miskin. Setidak-tidaknya orang miskin ini, tanggungjawabnya tidak berat. Ini adalah kerana ALLAH meletakkan tanggungjawab pada seseorang itu berdasarkan tahap kekuatan yang ALLAH berikan. Kalau seseorang itu dikuatkan oleh ALLAH SWT seperti dikuatkan-Nya dengan tenaga, dikuatkan-Nya dengan harta, dikuatkan-Nya dengan kepandaian, maka akan lebih banyak tanggungjawabnya. Seandainya dia tidak boleh bertanggungjawab, Nerakalah baginya di Akhirat.

Sebaliknya, kalau seseorang itu dilemahkan oleh ALLAH seperti lemah ilmu pengetahuan, lemah dari segi fizikal, miskin pula, maka dia tidak ada banyak tanggungjawab. Dan di Akhirat esok, dia lebih mudah. Tidak banyak yang akan dipersoalkan darinya. Yang demikian satu keuntungan baginya.

Kerana itulah, mengapa dikatakan kita kena pandai meletakkan suasana yang telah ALLAH jadikan kepada kita pada tempatnya. Kalau kita diberi ALLAH kelebihan seperti kayaraya, rumah besar, kereta besar, pangkat besar dan sebagainya, jangan sekali-kali kita berbangga. Hendaklah kita gunakan untuk kepentingan masyarakat Islam terutamanya dalam menegakkan agama ALLAH. Hendaklah kita berada dalam suasana yang sentiasa takut kepada ALLAH kerana bimbang terhadap tanggungjawab yang telah dipikulkan oleh ALLAH; takut-takut tidak dapat dilaksanakan. Kalau di Akhirat kita tidak dapat menjawab soalan yang dipertanggungjawabkan itu, kita akan terjerumus ke Neraka. Seandainya kelebihan yang ALLAH berikan itu dapat diletakkan pada tempatnya, maka balasan yang akan ALLAH berikan ialah Syurga di Akhirat.

Jadi, janganlah kita objek atau bantah kepada ALLAH SWT tentang mengapa kita dijadikan berbeza dengan orang lain. Kalau kita dimiskinkan oleh ALLAH, kenalah kita redha menerimanya. Begitu juga kalau kita diburukkan atau dibodohkan. Kadang-kadang manusia ini memang sudah perangainya suka objek apa saja yang ALLAH berikan kepadanya. Kalau dia miskin, dia buruk atau dia tak lulus SRP, dia akan objek Tuhan. Dan yang hebatnya, kalau dia kaya pun kadang-kadang dia objek Tuhan juga.

Nampaknya, bagi manusia ini semuanya salah terhadap apa yang telah ALLAH jadikan. Cuma satu saja yang tidak pernah kita dengar manusia mengobjek Tuhan. Iaitu, tentang kejadiannya sama ada lelaki atau perempuan. Nampaknya, orang yang telah dijadikan lelaki oleh ALLAH, redha dengan kejadiannya dan orang yang telah dijadikan perempuan oleh ALLAH, redha dengan kejadiannya Yang satu ini yang manusia jarang objek tetapi perkara-perkara yang lain, ada saja yang tidak kenanya.

Perkara objek-mengobjek kejadian Tuhan ini amat selalu kita dengar terutamanya di kalangan orang-orang kafir. Kadang-kadang di kalangan umat Islam hari ini pun kita terdengar juga kata-kata seperti Tuhan tak adil dan sebagainya kerana menjadikan manusia ini berbagai-bagai seperti ada yang miskin dan kaya, ada yang bodoh dan pandai dan lainlainnya. Dan kita pun kadang-kadang terperangkap juga dengan persoalan seperti ini.

Lojiknya dapat kita kaedahkan begini. Katalah kita ada membela ayam sereban. Di antara ayam-ayam itu ada yang kita jual, ada yang kita sembelih, ada yang kita beri kepada kawan, ada yang kita pelihara dan sebagainya. Sekali pandang, perbuatan kita itu macam tidak adil kerana mengapa pula ada yang disembelih, ada yang dijual, ada yang diberi kepada kawan dan sebagainya. Mengapa tidak disembelih saja semuanya atau dijual saja semuanya atau dipelihara semuanya? Namun siapakah yang berani objek perbuatan kita?

Atau kita kiaskan dengan memelihara berbagai-bagai binatang seperti kucing, kambing, ayam dan itik. Di antara binatang-binatang itu, kucing kita bawa naik ke rumah sampai tidur sebilik pula. Manakala binatang-binatang yang lain kita letakkan di kandangnya. Kalau hendak dikira, tentulah tidak adil perbuatan kita kerana, mengapa kucing dibenarkan naik ke rumah sedang yang lain-lain tidak? Begitu jugalah perbuatan ALLAH. Siapakah yang boleh objek perbuatan-Nya.

Sebab itulah, walaupun kekuatan akal kita ini agak terbatas, namun dengan kita menilai hikmah-hikmah yang termampu oleh akal ini, sedikit sebanyak dapat juga membantu kita memahami keadilan dan kebijaksanaan ALLAH SWT. Ada faedah dan kebaikarmya mengapa ALLAH jadikan makhluk ini berbagai-bagai, dan kebaikan dan faedah itu kembali kepada manusia itu sendiri. Sepertilah dengan jari kita yang lima ini yang ALLAH jadikan ada yang panjang, ada yang pendek. Cuba kita bayangkan, apa akan terjadi kalau ALLAH jadikan sama panjang. Dapatkah kita memegang gelas air minum atau memegang barang-barang. Tentu menggenggam pun tidak boleh! Apakah ALLAH tidak adil dalam menjadikan jari manusia ini?

Yang demikian, kalau jari-jari yang seringkas itu pun ALLAH jadikan berbeza-beza kerana ada hikmah-hikmahnya yang tersembunyi, betapalah makhluk yang begitu unik dan kompleks ini.

Oleh itu, hendaklah kita terima semua kejadian ALLAH SWT itu dengan sebaik-baiknya, dan hendaklah kita akui bahawa ALLAH melakukamrya dengan penuh bijaksana serta penuh keadilan walaupun kadangkala kita rasa ada kejadiankejadian itu seperti membawa mudarat kepada kita. Dengan kita berbuat demikian, kita akan sentiasa berbaik sangka kepada ALLAH dan dapat meletakkan diri kita pada tempatnya yang sebenar sesuai dengan suasana yang ALLAH jadikan pada diri kita. Umpamanya, kalau kita miskin, kita redha dengan kemiskinan manakala kalau kita kaya, kita akan meletakkan diri kita sebagai orang yang dipertanggungjawabkan oleh ALLAH untuk menegakkan agama ALLAH serta membangunkan masyarakat Islam.

Jadi, semua kejadian dan perbuatan yang ALLAH lakukan kepada makhluk, ada muslihat dan faedahnya. Setiap perintah yang ALLAH suruh laksanakan dan setiap perintah yang berbentuk larangan, semuanya itu ada faedahnya kepada makhluk. Ada sebab-sebab mengapa ALLAH suruh berbuat sesuatu dan ada sebab-sebab mengapa ALLAH melarang sesuatu itu.

Cuma, kadang-kadang yang ALLAH larang itu adalah perkara-perkara yang kita suka yang menyebabkan hati kita sakit dengan larangan itu. Padahal yang ALLAH larang itu ada faedahnya kepada diri kita. Kita saja yang tidak tahu. Tetapi ALLAH Maha Mengetahui tentang diri kita lahir dan batin. Dia mengetahui tentang perkara yang boleh member-i mudarat kepada diri kita, kalau tidak mudarat di dunia, akan mudarat di Akhirat. Sebab itulah ada larangan-larangan dari ALLAH yang kita sendiri tidak dapat menilainya tetapi ALLAH saja yang dapat menilainya.

Sebab itu, bila ALLAH melarang sesuatu, hendaklah kita terima baik-baik. Jangan sekali-kali kita sakit hati dengan larangan itu. Dan bila ALLAH menyuruh sesuatu itu, kenalah kita buat sungguh-sungguh kerana ada faedahnya bagi diri kita, sedangkan ALLAH tidak mendapat faedah darinya. Segala faedah dan kebaikan itu kembali kepada makhluk itu sendiri.

Tetapi manusia tidak dapat melihat dan menilainya. Yang kita dapati sikap manusia hari ini, bila berhadapan dengan perintah dan larangan ALLAH ialah, rata-rata mereka akan berkata, “Mana boleh jadi. Susahlah kita kalau itu tak boleh dan ini tak boleh. Macam mana kita nak membangun. Macam mana kita nak lawan bangsa asing. Itu sebablah kita tak maju.”

Dalam suasana demikian, kita akan dengar manusia berkata, “Kalau ikut perintah ALLAH, akan huru-hara dan kucarkacir kehidupan manusia.” Sedangkan, kita mengatakan yang kalau semua manusia ikut perintah ALLAH, tidak akan huruhara kehidupan ini.

Jelas betapa jahat dan sombong serta takabumya manusia hari ini. Seolah-olah mereka lebih tahu dari ALLAH. Mungkin mereka sudah mencapai kebijaksanaan dan kepandaian hingga menjadi profesor yang botak kepala, maka itu mereka hendak tunjuk pandai dari ALLAH. Apakah mereka tidak sedar, betapa yang membotakkan kepala mereka itu juga adalah ALLAH SWT!

Kerana itu, janganlah kita bersikap sombong dan takabur dengan ALLAH. Apa saja yang ALLAH suruh, terimalah saja dan laksanakan. Mana-mana yang ALLAH larang, jauhilah, kerana ALLAH lebih mengetahui tentang muslihat kebaikannya kepada makhluk. Akal kita tidak dapat menilainya. Lebih baiklah kita tunduk dan patuh saja kepada ALLAH SWT yang mengetahui makhluk-Nya lahir dan batin.

Seterusnya, di samping ALLAH menjadikan seluruh yang baharu ini atas dasar harus saja, bagi ALLAH menjadikannya pun mudah sahaja. Ibarat kita manusia, kalau hendak menjadikan sesuatu itu adalah dengan jalan susah dan payah. Kenalah berusaha dan berikhtiar sungguh-sungguh. Tetapi, bagi ALLAH tidak. ALLAH hendak menjadikan segala makhluk atau seluruh alam ini adalah dengan jalan mudah saja. ALLAH hanya menyebut: “Jadi”, maka jadilah!

Ertinya, bagi ALLAH, kalau sesuatu itu hendak dijadikan, ALLAH hanya berkata, “Jadi”, maka perkara itu pun terjadi. Begitu mudah sekali pada Allah SWT. ALLAH boleh menjadikan perkara yang .kecil atau perkara yang besar dengan hanya berkata, “Jadi” sahaja. Bagi ALLAH sama saja taraf menjadikan yang kecil dengan menjadikan sesuatu yang besar pada pandangan mata kita. Begitulah kuasa ALLAH dalam menjadi sesuatu perkara itu dengan cara yang mudah sahaja.

Cuma, yang hendak kita bahaskan sedikit di sini ialah, mengapakah pada pengalaman kita, bila ALLAH’ hendak menjadikan sesuatu itu seperti hendak menjadikan manusia ataupun haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan, tidak dengan hanya menyebut “Jadi”. Kerana, dalam pengalaman kita ini, bila manusia hendak dijadikan, ia bermula dengan beransuransur. Mula-mula dalam kandungan, kemudian dilahirkan dan membesar sedikit demi sedikit. Daripada dia meniarap, dia mulai merangkak dan kemudian mula berjalan serta tumbuh gigi dan seterusnya membawa kepada dewasa. Ketika itu, barulah menjadi besar, boleh bercakap serta boleh bertenaga. Dan seluruh proses ini berjalan selama beberapa tahun.

Begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Mula-mula dicambah benih, kemudian baru ia tumbuh menjadi pokok. Dari situ barulah ia membesar hingga bertahun-tahun. Akhimya barulah berbunga dan berbuah. Tidak pula kita lihat pokok-pokok tents terjadi begitu saja. Padahal, kita tahu yang kalau ALLAH hendak menjadikan sesuatu itu, Dia hanya menyebut “Jadi”, maka jadilah perkara itu. Mengapa pula di dalam kejadian yang kita lihat ini tidak begitu?

Bahkan, di dalam Al Quran pun ada ALLAH berfirman:

Dan DIA-lah (ALLAH) yang menjadikan langit dan bumi dalam masa enam hari. (Hud: 7)

Daripada ayat ini, kita dapati yang ALLAH menjadikan langit dan bumi ini dalam masa enam hari. Mengapa pula demikian, sedangkan dikatakan, ALLAH boleh menjadikan sesuatu itu de,ngan hanya menyebut “Jadi” saja. Apakah susah pula bagi ALLAH untuk menjadikan langit dan bumi ini hingga terpaksa melakukannya selama enam hari?

Sebenamya, kalau ALLAH hendak menjadikan sesuatu itu dengan hanya menyebut “Jadi” saja pun, boleh bagi ALLAH. Tetapi sengaja ALLAH lambatkan kejadian sesuatu itu kerana ada hikmah-hikmahnya, Di dalam kelahiran bayi saja misalnya, apakah tidak boleh ALLAH jadikan seorang manusia terus berjanggut, bermisai serta sudah cukup dewasa seperti orang berumur 25 tahun. Jawabnya, boleh!

Tetapi, cuba kita bayangkan seorang ibu hendak melahirkan anak yang besar dan panjang berumur 25 tahun. Sesudah dewasa, tunggu hendak kahwin saja. Sedangkan hendak melahirkan bayi sepanjang kira-kira satu kaki yang beratnya lebih kurang 7 paun itu pun payah. Inikan pula seorang yang besar panjang. Mungkin, apabila lahir saja, ibu pun mati.

Jadi, walaupun ALLAH boleh lakukan satu-satu kejadian itu secara menyebut “Jadi,” maka perkara itu akan terjadi, namun ALLAH tidak lakukan demikian kerana ada hikmahhikmah yang tersembunyi. ALLAH tetap melakukan kejadian- kejadian di langit dan di bumi ini secara beransur-ansur.

Apakah yang dapat kita fahamkan daripada cara ALLAH melakukan kejadian-kejadian-Nya dengan cara beransur-ansur itu? Sebenamya, inilah cara ALLAH mendidik manusia supaya apa saja yang kita buat, jangan gopoh-gapah, sebaliknya hendaklah berhati-hati dan berhalus-halus. Yang demikian setiap kerja yang kita lakukan akan menjadi lebih sempurna. Sebab, membuat kerja secara gopoh-gapah, secara melulu dan secara cepat, hasilnya tidak sempurna.

Kerana itulah ALLAH didik manusia supaya membuat satu-satu kerja lambat-lambat dan secara perlahan-lahan Sedangkan ALLAH SWT, yang boleh melakukan sebarang kejadian dengan hanya menyebut “Jadi” saja itu pun membuat sesuatu secara beransur-ansur, apatah lagi kita yang tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk menjadikan sesuatu dengan hanya menyebut “Jadi”.

Amat patut sekalilah kita memahami pendidikan ALLAH ini supaya kita juga membuat kerja-kerja dengan cara beransur- ansur serta perlahan-lahan. Kerana, hasil dari kerja demikian adalah lebih baik daripada kerja yang gopoh-gapah.

Banyak perkara yang ALLAH didik kita supaya jangan gopoh dan melulu. Satu darinya ialah dalam membuat kerjakerja kita. Hendaklah kita membuatnya secara perlahan-lahan dan beransur-ansur mengikut kemampuan tenaga dan masa. Kalau kita membuat sesuatu kerja itu dengan tujuan hendak cepat siap, kalau siap pun mungkin tak sempurna. Boleh jadi langsung tak siap. Sebab itulah di dalam sebuah Hadis Rasulullah bersabda:

Bertenang-tenang itu daripada ALLAH SW. Dan bersegera atau bergopoh-gapah itu adalah daripada syaitan.

Jadi, kita tidak boleh bergopoh-gapah membuat sebarang kerja. Bahkan perkara yang sudah nyata baik pun, kita tidak boleh juga bersegera-segera. Umpamanya dalam hendak mendapatkan pahala sembahyang berjemaah atau surau, kita pun tergopoh-gopoh kerana barangkali imam sudah pun takbir sedangkan kita masih di luar masjid. Kita pun bergegas-gegas ke tandas dan kemudian bersegera mengambil air sembahyang. Cepat-cepat kita lilit serban dan masuk berjemaah. Perbuatan ini amat dilarang oleh syariat. Setidak-tidaknya ia jatuh kepada makruh.

Sepatutnya, walaupun kita sudah terlambat, kita tidak boleh tergopoh-gopoh. Hendaklah kita perlahan-lahan Kalau dapat dua rakaat berjemaah pun jadilah. Atau kalau tidak, satu rakaat pun jadilah. Asalkan, jangan kita bergopoh-gapah.

Selain dari itu, kita juga tidak boleh gopoh dalam menerima berita-berita sama ada berita yang baik mahupun berita yang buruk. Ini juga dijelaskan oleh syariat. Di dalam Al Quran dikatakan betapa kalau datang orang fasiq membawa berita hendaklah diperiksa lebih dahulu, jangan mudah diterima. Hendaklah diteliti dan dikaji lebih dahulu sebelum membuat keputusan. Bertawaquflah lebih dahulu kerana kalau kita terus bertindak, takut-takut kita akan menyesal kemudiannya

Begitu juga, kita tidak boleh bergopoh-gapah secara buruk sangka dengan seseorang. Sesuai juga dengan apa yang diperkatakan oleh syariat dalam firman ALLAH:

Sesungguhnya sebahagian daripada buruk sangka itu adalah dosa. (Al Hujurat: 12)

Kemudian, kita juga dilarang bergopoh-gapah menghukum ke atas sesuatu kesalahan. Syariat ada menyatakan kepada kita supaya biar kita tidak menghukum terhadap sesuatu kesalahan daripada kita menghukum tetapi salah memberikan hukuman. Sebab itu, menghukum juga jangan gopoh-gapah. Kenalah dipertimbangkan sungguh-sungguh.

Seterusnya, kita jangan mudah gopoh-gapah berputus asa. Katalah kita sudah belajar sungguh-sungguh tetapi tidak juga lulus. Jangan mudah kita berputus asa. Atau katalah kita sudah berusaha sungguh-sungguh dalam perniagaan tetapi jatuh papa juga. Di sini juga kita tidak boleh gopoh-gapah berputus asa. Begitu jugalah, kalau kita sudah lama berumahtangga tetapi tidak juga memperoleh seorang anak, jangan mudab kita putus asa. Sekurang-kurangnya kita boleh berpakat baik-baik untuk mendapatkan seorang isteri lagi agar dapat menghasilkan anak.

Jadi, berputus asa dalam sebarang perkara adalah amat dilarang, lebih-lebih lagi kalau kita terburu-buru dengannya. Firman ALLAH SWT:

Jangan kamu berputus asa daripada rahmat ALLAH. (AZ Zumar: 53)

Firman ALLAH lagi:

Sesungguhnya tiada yang berputus asa dari rahmat ALLAH melainkan kaum yang kafir. (Yusuf: 87)

Jadi, jelas kepada kita bahawa pendidikan yang kita terima daripada cara ALLAH menjadikan sesuatu kejadiannya itu secara beransur-ansur dan tidak dengan cara “Kun fayakun” padahal cara itu boleh ALLAH lakukan, ialah supaya kita juga beransur-ansur dalam banyak perkara. Dengan demikian, hidup kita akan menjadi teratur dan aman damai.

Walau bagaimanapun, untuk menunjukkan kekuasaan ALLAH kepada umat, sekali-sekala ALLAH jadikan juga sesuatu perkara itu secara “Kun fayakun”. Ini dapat kita baca melalui peristiwa-peristiwa manusia yang diceritakan di dalam kitab-kitab. Salah satu daripadanya ialah peristiwa yang berlaku pada seorang hamba ALLAH yang selama-lamanya terlalu pelik dengan kejadian ALLAH secara “Kun fayakun” itu. Dia sentiasa memikir-mikir tentang bagaimanalah kuasa ALLAH dalam menjadikan sesuatu perkara itu dengan hanya menyebut “Jadi”, maka jadilah ia.

Suatu hari, dia pergi ke sungai untuk mandi. Setelah dia turun perlahan-lahan ke dalam sungai itu, dia seolah-olah merasakan yang dia sudah berada di sebuah negeri lain serta di dalam mukim yang berlainan sama sekali. Di situlah dia hidup bergaul, bertemu dan berkenal serta bermasyarakat. Di situlah dia bekerja dan mencari rezeki, berkenduri-kendara dan berbuat berbagai perkara. Hinggakan suatu ketika dia teragak hendak beristeri lalu dia meminang seorang anak gadis. Dia pun berkahwin dan akhimya mendapat beberapa orang anak. Pendek kata, berbagai-bagai peristiwa yang ditempuhnya di negeri itu, hinggalah kepada suatu hari, dia teragak hendak turun mandi ke sungai. Sampai ke sungai, dia pun menyelam.

Apabila dia timbul, dilihatnya yang dia sedang berada di tepi sungai pada mulanya tadi. Nampaknya, peristiwa yang berlaku padanya itu hanya berlaku sejurus menyelam di dalam air iaitu kira-kira satu minit saja. Namun dia telah melalui berbagai-bagai perkara, daripada dia bergaul, bertemu dan berkenalan, membawa kepada dia bermasyarakat, berumahtangga serta beranak isteri. Peristiwa itu sebenamya berpuluh-puluh tahun lamanya. Dan berlakunya semua itu, bukan dikhayal- khayal dan bukan juga dalam mimpi. Dia dapat merasakan yang peristiwa itu benar-benar berlaku kerana detik-detiknya masih terasa padanya. Katalah detik dia menimang anak, bergaul dengan isteri, menghadiri kenduri-kendara, menziarahi jenazah dan sebagainya. Namun, seluruhnya berlaku semasa dia menyelam di dalam sungai itu.

Ini hanya menunjukkan kepada kita betapa ALLAH boleh melakukan sesuatu perkara itu hanya dengan mengatakan “Jadi,” maka jadilah perkara itu. Seperti peristiwa yang berlaku pada hamba ALLAH tadi yang hanya kira-kira seminit menyelam di dalam sungai tetapi menempuh berbagai-bagai peristiwa yang berlaku berpuluh-puluh tahun hingga dia berkahwin dan mendapat anak.

 

Artikel ini adalah bagian dari buku Aqidah Mukmin Siri 3 yang berisi buah fikiran dan ilham dari Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Artikel Terkait :

Iklan

Silahkan Berkomentar

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

 
%d blogger menyukai ini: