Aliey Faizal

'Isy Kariiman Aw Muth Syahiidan

Aqidah Mukmin Siri 1 Abuya Ashaari bin Muhammad At Tamimi

Posted by Aliey Faizal pada 24 Mei 2012

Sejak kewafatan Rasulullah SAW hingga ke saat ini telah lahir dan berkembang di tengah-tengah masyarakat Islam berbagai-bagai aliran aqidah dan pegangan serta pecahan-pecahannya. Sehingga kalau dihitung-hitung aliran-aliran aqidah itu, akan terjumlahlah ia kepada 73 pecahan yang kesemuanya terkeluar daripada aqidah yang sebenar, kecuali satu – Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini menepati maksud Hadis:

Sesungguhnya akan berpecah-belah umatku menjadi 73 puak. Maka yang satu puak di Syurga dan yang 72 puak di Neraka.

Beruntunglah kita kalau selama ini berpegang kepada aqidah yang sah. Namun semata-mata mengaku Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak menjamin kita terselamat daripada terperangkap dengan aqidah yang sesat.

Malah, hari ini ramai di kalangan umat Islam yang terjebah ke dalam perangkap qadariah, jabariah, mujassimah, muktazilah, dan lain-lain aqidah yang sesat. Terperangkapnya kebanyakan mereka ke dalam aqidah-aqidah yang sesat itu biasanya secara tidak sedar disebabkan kejahilan, iaitu dalam pada mereka mengak berpegang kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Di samping itu tidak kurang pula di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang secara sedar menukar aqidah mereka kepada aqidah syiah, wahabi dan sebagainya semata-ata kerana melihatkan golongan yang berpegang kepada aqidah-aqidah itu telah berpengaruh dalam masyarakat, malah sesetengahnya telah menerajui negara.

Justeru itu, buku ini lahir (dalam tiga jilid) untuk memandu pembaca menyuluh kembali aqidah dan pegangan mereka agar benar-benar selari dan tepat dengan aqidah Ahli Sunah Wal Jamaah. Ia menghuraikan dengan jelas, berdasarkan hujah-hujah aqliah dan naqliah, ciri-ciri aqidah yang sebenar dan kesesatan aqidah-aqidah selainnya.

Gaya penyampaiannya yang mudah dan menyentu berserta contoh-contoh semasa yang dipaparkan, menjadikan buku ini istimewa berbanding dengan mana-mana buku lain yang menyentuh persoalan aqidah (tauhid). Ia akan membuatkan pembaca berasa ringan dalam menghayati satu persoalan yang mana penting dalam kehidupan seorang Mukmin. Dan akhirnya ia akan membawa pembaca (insya ALlah) kepada satu keyakinan yang kental bahawa aqidah dan pegangan mereka adalah sebenar-benar.

Sekapur Sirih

SEJAK Islam mula berkembang hinggalah ke hari ini, umat Islam tidak pernah rehat daripada menghadapi cabaran berbentuk aqidah. Muncul satu demi satu fahaman atau aqidah yang menyeleweng dari aqidah yang sebenar, sama ada yang timbul akibat kejahilan umat Islam sendiri atau yang diasak oleh musuh-musuh Islam secara halus.

Dalam situasi seperti ini Ustaz Ashaari Muhammad muncul dengan membawa aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang jelas dan mampu diimplementasikan dalam segenap bidang kehidupan termasuk dalam ekonomi, politik, pendidikan, dan sebagainya. Dengan kata lain, beliau membawa fikrah Islamiah yang jelas bersandarkan aqidah yang tepat.

Kehadiran beliau kena pada masanya untuk menyelamatkan aqidah umat Islam seluruhnya agar terbina benteng aqidah yang kukuh dalam diri masing-masing, dan supaya setiap orang dapat membetulkan aqidah yang salah yang menjadi pegangan mereka selama ini. Tanpa kekuatan aqidah, umat Islam sudah pasti akan terjebak dengan aqidah-aqidah yang sesat sama ada secara disedari atau tidak. Mereka boleh terjebak kepada aqidah qadariah, jabariah, bahai, qadiani, wahabi, syiah dan sebagainya. Aqidah mereka juga boleh rosak kerana menganut fahaman atau isme yang tidak dikaitkan dengan agama seperti komunisme, nasionalisme dan sebagainya, yang sudah berkembang luas di seluruh dunia Islam termasuk di Malaysia.

Ustaz Ashaari telah menyalurkan fikrah beliau dalam kuliah-kuliah fardhu ain, ceramah-ceramah umum dan tarbiah, serta menerusi buku-bukunya yang berjumlah 42 buah setakat ini. Setiap buku yang dikarangnya tidak terlepas dari menyentuh persoalan iman dan aqidah. Dan khusus untuk menyerang golongan syiah dan wahabi, beliau telah mengarang buku BAHAYA SYIAH dan BERHATI-HAT1 MEMBUAT TUDUHAN.

Buku AQIDAH MUKMIN ini (Siri I, II dan III) khusus membicarakan persoalan aqidah yang merangkumi keyakinan kepada Rukun Iman yang enam.

Ustaz Ashaari telah bertemu dan berbincang dengan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah di merata dunia termasuk di Mesir, Turki, Pakistan, Jordan, Tunisia, Maghribi, Indonesia, dan sebagainya. Beliau juga bertemu dengan ulama-ulama syiah dan wahabi di Iran, Kuwait dan Arab Saudi. Dan beliau telah menjelajah ke banyak negara Barat tempat berkembangnya berbagai-bagai aliran fikiran dan isme yang sesat, termasuk ke Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Itali, Yugoslavia dan lain-lain. Dari situlah beliau memperolehi gambaran yang sejelas-jelasnya mengenai segala macam fahaman dan aliran aqidah yang ada di dunia hari ini.

Oleh itu melalui buku ini, beliau menghurai kembali isi kitab tua dengan gaya pengolahan yang segar dan bahasa yang mudah berserta contoh-contoh yang dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini. Apa yang menarik, dalam membicarakan persoalan aqidah ini, Ustaz Ashaari tidak langsung memisahkannya dari persoalan tasawuf dan syariat. Beliau mahu menekankan bahawa ilmu usuluddin (aqidah), tasawuf (akhlak) dan feqah (syariat) merupakan tiga serangkai dalam ajaran Islam yang tidak boleh dipisah-pisahkan dari kehidupan seorang mukmin. Oleh itu huraian beliau tentang aqidah seringkali dikaitkan dengan aspek-aspek lain dalam Islam khususnya akhlak dan syariat.

Membaca buku ini, anda bukan saja mendalami persoalan aqidah tetapi juga menerima ilmu dan didikan berhubung perkara-perkara asas yang lain dalam ajaran Islam, sehingga timbul satu dorongan yang kuat untuk beramal dan membentuk diri menjadi orang yang bertaqwa.

Prakata

BUKU yang bertajuk AQIDAH MUKMIN ini merupakan hasil kuliah usuluddin yang telah pun saya sampaikan. Kuliah fardhu ain ini kembali bertemu saudara dalam bentuk buku, yang moga-moga dapat memberi manfaat yang lebih besar lagi. Kalaulah selama ini ianya hanya dikuliahkan dalam jemaah Darul Arqam atau jemaah Aurad Muhammadiah sahaja, sejak 20 tahun yang lalu, kini biarlah ianya dapat menjadi khazanah yang dapat saudara-saudari abadikan, dan biarlah ia bertebar ke seluruh pelusuk dunia. Kuliah-kuliah yang saya anggap penting ini, saya bukukan atas permintaan banyak pihak, supaya ilmu yang dikuliahkan itu tidak hilang percuma begitu saja.

Kuliah-kuliah ini ialah berdasarkan matan kitab yang terkenal di Malaysia terutamanya di Johor, Selangor, Melaka dan Wilayah Persekutuan, serta berkembang luas di Brunei dan Singapura, iaitu kitab RISALAH TAUHID dalam tulisan jawi keluaran Jabatan Agama Negeri Johor. Ia telah pun menjadi buku teks dan bahan rujukan di sekolah-sekolah agama terutamanya di negeri Johor, Selangor dan Brunei, sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Dan hinggalah ke hari ini ianya masih digunakan lagi.

Ilmu usuluddin yang dihuraikan dalam RISALAH TAUHID ini juga telah dijadikan buku teks dalam kuliah-kuliah fardhu ain di dalam jemaah Darul Arqam atau jemaah Aurad Muhammadiah. Metod atau kaedah yang digunakan adalah mengikut metod Syeikh Abul Hassan Al Asyaari. Beliau merupakan seorang tokoh ulama yang terkenal di awal kurun ketiga Hijrah. Kehebatannya itu melayakkan ia menjadi seorang mujaddid di kurunnya.
Ilmu usuluddinnya sangat hebat dan mengkagumkan. Perbahasan-perbahasan yang dibuat oleh Abul Hassan Al Asyaari ini telah memecah tradisi di zamannya dengan menggunakan dalil Al Quran serta diperkuatkan atau diperteguhkan dengan hujah atau dalil akal. Bahkan metod daripada ulama besar inilah yang diterima sebagai pegangan atau aqidah oleh empat mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu pengikut-pengikut Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafi’i dan Imam Hambali, sejak ribuan tahun yang lampau hinggalah sekarang ini.

Bahkan pegangan usuluddin mengikut kaedah Abul Hassan Al Asyaari inilah yang menjadi aqidah umum bagi seluruh umat Islam di Malaysia. Dan telah menjadi salah satu mata pelajaran di sekolah-sekolah agama sama ada di sekolah agama rasmi kerajaan ataupun swasta, termasuklah sekolah yang bercorak pondok.
Walhasil usuluddin mengikut kaedah (metod) Abul Hassan Al Asyaari ini telah jadi pegangan semua pejabat agama seluruh Malaysia kecuali Perlis dan beberapa individu terutamanya segelintir ulama di akhir-akhir ini yang telah terpengaruh dengan fahaman wahabiah yang datang dari negara Saudi.

Sejak tertegaknya Kerajaan Ibnu Saud sejak 80 tahun yang lampau barulah datangnya perubahan di mana mereka menolak ajaran usuluddin mengikut metod Abul Hassan Al Asyaari ini. Bahkan tanpa malu dan segan-silu serta dengan penuh angkuh menganggap kaedah atau metod usuluddin yang dibawa oleh Abul Hassan Al Asyaari ini bid’ah. Ertinya mereka telah menuduh seluruh ulama dan pengikut-pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah pembawa bid’ah. Bahkan di akhir-akhir ini telah kedengaran di Kelantan, ada ulama-ulama yang turut bersuara sumbang menyatakan metod yang menjadi pegangan Abul Hassan Al Asyaari ini bid’ah. Ini juga merupakan tali barut atau pengikut fahaman wahabi sama ada sedar atau tidak. Sejak itu timbullah kontroversi yang hebat di kalangan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah terutamanya di kalangan guru-guru pondok di sana.

Buku ini selain daripada menjadi panduan kepada mereka yang menganut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, ianya sekaligus menjadi scud yang dapat menolak dan membendung fahaman wahabi. Kalau tidak, mereka dengan sewenang-wenangnya berani ‘menembak’ dengan tuduhan-tuduhan bid’ah, sesat dan sebagainya. Terutamanya pada Abul Hassan Al Asyaari dan pengikut-pengikutnya, yakni mereka yang berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang tinggal di merata pelusuk dunia ini.

Perlu diingatkan kepada para pembaca budiman bahawa isi buku ini mengekalkan bahasa percakapan sewaktu memberi kuliah tersebut, dengan tujuan memudahkan anda para pembaca memahaminya.

Buku ini kalau ada manfaatnya kuhadiahkan pahalanya kepada kedua ibu bapaku, guru-guruku dan semua yang pernah berjasa padaku. Serta juga kepada mereka yang aku berdosa padanya. Dan juga khusus untuk guruku pengasas Aurad Muhammadiah, Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi. Ampunkan dosaku, ya ALLAH, sekiranya apa yang tercatat dalam buku ini ada perkara-perkara yang tidak Engkau redhai. Selamatkan kami dari azab-Mu dunia dan Akhirat.

Sekian, wassalam.
Al hakir wal fakir,

Ashaari Muhammad

Artikel ini adalah bagian dari buku Aqidah Mukmin Siri 1 yang berisi buah fikiran dan ilham dari Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Artikel Terkait :

Iklan

Silahkan Berkomentar

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

 
%d blogger menyukai ini: