Aliey Faizal

'Isy Kariiman Aw Muth Syahiidan

Archive for Mei 24th, 2012

Aqidah Mukmin Siri 1 Abuya Ashaari bin Muhammad At Tamimi (Bab 8 : Wahdaniah)

Posted by Aliey Faizal pada 24 Mei 2012

MATAN

Yang keenam Wahdaniah ertinya esa ALLAH Taala pada zat pada sifat dan pada perbuatan. Maka hakikatnya: ibarat daripada menafikan berbilang pada zat pada sifat dan pada perbuatan sama ada bilangan yang muttasil (yang berhubung) atau bilangan yang munfasil (yang bercerai).Adapun makna esa Tuhan pada zat itu iaitu menafikan kam muttasil pada zat (menafikan bilangan yang berhubung pada zat) seperti tiada zat Tuhan bersusun daripada darah, daging, tulang, urat dan menafikan kam munfasil pada zat (menafikan bilangan yang bercerai pada zat Tuhan) seperti tiada zat yang lain menyamai seperti zat ALLAH Taala.Makna esa Tuhan pada sifat iaitu menafikan kam muttasil pada sifat (menafikan bilangan yang berhubung pada sifat-Nya) iaitu tidak sekali-sekali bagi ALLAH Taala pada satu-satu jenis sifat-Nya dua sifat seperti dua Qudrat, dan menafikan kam munfasil pada sifat (menafikan bilangan-bilangan yang bercerai pada sifat) iaitu tidak ada sifat yang lain menyamai sebagaimana sifat Tuhan.Esa Tuhan pada perbuatan itu menafikan kam munfasil pada perbuatan (menafikan bilangan-bilangan yang bercerai pada perbuatan) iaitu tidak ada perbuatan yang lain menyamai seperti perbuatan Tuhan bahkan segala barang yang berlaku di dalam alam semuanya perbuatan Tuhan sama ada perbuatan itu baik rupanya dan hakikatnya seperti iman dan taat atau jahat rupanya tiada pada hakikatnya seperti kafir dan maksiat dan sama ada perbuatan dirinya atau perbuatan yang lainnya semuanya itu perbuatan Tuhan. Tiada sekali-sekali hamba mempunyai perbuatan, pada hakikatnya hanya ada usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas walhasil apakala dikata wajib bagi Tuhan bersifat Wahdaniah maka ternafilah kam-kam yang lima itu iaitu ternafi kam muttasil dan munfasil pada zat kam muttasil dan munfasil pada sifat dan kam munfasil pada perbuatan.Maka dengan kenyataan yang di atas ini, zahirlah tiada zat yang lain, sifat yang lain dan perbuatan yang lain menyamai dengan zat, sifat dan perbuatan Tuhan. Yang demikian, tertolaklah segala kepercayaan-kepercayaan yang membawa kepada menyengutukan Tuhan bagaimana yang berlaku di sisi satu bangsa di dalam dunia ini ada mempunyai adat dan kepercayaan yang karut, sehingga membawa rosak imannya kerana kepercayaannya itu membawa menyengutukan Tuhan dengan yang lainnya.Maka perkara yang seperti ini masih banyak pada masa ini dan banyak pula yang melakukan dia dengan tidak sedarkan mudharatnya merosakkan iman kepada Tuhan maka di sini disebutkan sebahagian daripadanya supaya dapat diketahui kesalahannya.

ALLAH Esa Pada Zat-Nya, Sifat-Nya dan Perbuatan-Nya

WAHDANIAH ertinya: esa atau tunggal. Perlu kita ingat di sini bahawa tunggal yang dimaksudkan bukan bermakna satu. Jika ia dimaksudkan satu, maka bererti yang ia mempunyai ikutan selanjutnya seperti dua, tiga, empat, dan seterusnya. Tunggal di sini mempunyai pengertian yang tersendiri yang dibuat oleh para ulama tauhid berdasarkan firman ALLAH:

Terjemahannya: Katakanlah olehmu (ya Muhammad), “ALLAH itu Esa.” (Al Ikhlas: 1)

Pengertian esa ini luas sekali dan lebih menyeluruh. Maka di sini kita akan membahagikan pengertian tersebut kepada tiga bahagian yang besar iaitu:

  1. ALLAH itu tunggal pada zat-Nya,
  2. ALLAH juga tunggal pada sifat-Nya, dan
  3. ALLAH juga tunggal pada perbuatan-Nya.

Esa Pada Zat-Nya

Mengenai tunggal ALLAH pada ‘zat-Nya, ulama-ulama memberikan pengertian bahawa zat ALLAH itu tidak ada bilangan berhubung dan tidak ada yang bercerai. Dengan ertikata lain, zat ALLAH itu bukan terdiri daripada susunan-susunan tertentu. Yakni, zat ALLAH bukan terdiri. daripada susunan kulit atau susunan daging atau daripada darah atau tulang, atau daripada urat-urat.

Zat ALLAH Tidak Menyerupai Makhluk.

Ertinya zat ALLAH tidak menyerupai makhluk. Makhluk seperti manusia dan haiwan tersusun daripada daging, darah atau urat. Dan zat ALLAH tidak tersusun daripada kulit-kulit, getah, isi dan teras seperti pokok-pokok kayu. Juga, zat ALLAH tidak tersusun daripada bahagian-bahagian iaitu ada bahagian luar dan ada bahagian dalam seperti batu-batan atau batu-bata. Baca entri selengkapnya »

Posted in Kajian Islam | Dengan kaitkata: , | Leave a Comment »

Aqidah Mukmin Siri 1 Abuya Ashaari bin Muhammad At Tamimi (Bab 7 : Qiamuhu Binafsihi)

Posted by Aliey Faizal pada 24 Mei 2012

MATAN

Yang kelima – Qiamuhu Taala Binafsihi.Ertinya berdiri ALLAH dengan sendiri (bersendirian) tidak berkehendak kepada tempat berdiri (zat) dan tiada berkehendak kepada yang menjadikan Dia. Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan ALLAH Taala berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikan Dia. Tegasnya, ALLAH Taala itu terkaya dan tiada berhajat kepada sesuatu sama ada pada perbuatan-Nya atau hukuman-Nya tetapi Tuhan menjadikan tiap tiap suatu dan mengadakan undang-undang semuanya untuk faedah dan muslihat yang kembali kepada sekalian makhluk dan ia menjadikan semata-semata kerana kelebihan-Nya dan belas kasihan-Nya, bukan sekali-sekali kerana berhajat kepada faedah.Maka Tuhan terkaya daripada mengambil manfaat atas taat hamba-Nya dan tidak sekali-sekali menjadikan mudharat kepada-Nya oleh sebab maksiat hamba-Nya hanyasanya disuruh, diperintah, ditegah makhluk itu iaitu bagi perkara yang kembali faedah-Nya kepada makhluk jua sebagaimana firman-Nya:

Ertinya: Barang siapa berbuat amal yang soleh maka pahalanya itu kembali pada dirinya, dan barang siapa berbuat jahat maha balasannya (seksanya) itu tertanggung ke atas dirinya jua. (Fushilat: 46)

Dan lagi firman-Nya:

Ertinya: Jika kamu berbuat kebajikan maka kebajikan itu terpulang bagi diri kamu (kerana pahalanya itu kembali kepada diri kamu) dan jika kamu berbuat jahat maka kejahatan itu terpulang kepada diri kamu sendiri (kerana diusahanya kembali kepada diri kamu jua). (Al Isra’: 7)

Maka kata Syeikh Suhaimi Rahimahullahutaala adalah segala yang maujudat itu dengan nisbah berkehendak kepada tempat dan kepada yang menjadikan Dia itu terbahagi 4 bahagian:

  1. Terkaya daripada tempat berdiri dan daripada yang menjadikan Dia iaitu zat ALLAH Taala.
  2. Berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikan Dia iaitu segala aradh.
  3. Terkaya daripada itu zat tempat berdiri tetapi berkehendak kepada yang menjadikan Dia iaitu segala jirim.
  4. Terkaya daripada yang menjadikan Dia dan berdiri pada zat iaitu sifat Allah Taala.

Pengertian “Qiamuhu Taala Binafsihi”

SIFAT yang kelima yang wajib bagi ALLAH Taala ialah sifat Qiamuhu Taala Binafsihi. Ertinya: berdiri ALLAH SWT itu dengan sendiri. Dengan kata lain, ALLAH SWT itu tidak berhajat kepada tempat berdiri dan tidak berkehendak kepada yang menjadikan Dia.

Di sini hendaklah kita ingat benar-benar bahawa Qiamuhu Taala Binafsihi ini tidak boleh kita bawakan pengertiannya kepada sifat makhluk. Berdiri dengan sendiri yang berlaku kepada makhluk kita ertikan sebagai bangun berdiri daripada keadaan duduk tanpa pertolongan sesiapa. Lalu dikatakan dia berdiri dengan sendiri. Tetapi berdiri dengan sendiri yang berlaku pada ALLAH SWT tidak demikian.

ALLAH SWT itu berdiri dengan sendiri dalam ertikata bahawa ALLAH tidak berkehendak kepada zat tempat Dia berdiri. Dan ALLAH SWT tidak memerlukan yang menjadikan Dia.

Tiada Siapa Yang Menjadikan-Nya

Sebenarnya, memang ALLAH SWT itu tidak ada siapa yang menjadikan. Sekadar sebagai perbahasan, kalaulah ALLAH SWT itu memerlukan zat tempat Dia berdiri, ini memberi erti bahawa ALLAH SWT bukan lagi zat tetapi sifat. Kerana yang memerlu kepada zat tempat berdiri adalah sifat. Sedangkan sifat berdiri pada zat. Sebelum ini kita telah bahaskan bahawa ALLAH SWT bukan sifat tetapi zat. Kerana itu, kita tidak boleh mengatakan ALLAH SWT memerlukan tempat Dia berdiri kerana yang memerlu kepada tempat berdiri adalah sifat. ALLAH bukan sifat. Baca entri selengkapnya »

Posted in Kajian Islam | Dengan kaitkata: , | Leave a Comment »

Aqidah Mukmin Siri 1 Abuya Ashaari bin Muhammad At Tamimi (Bab 6 : Mukholafatuhu Lilhawadisi)

Posted by Aliey Faizal pada 24 Mei 2012

MATAN

Yang keempat Mukholafatuhu Taala Lilhawadisi, ertinya bersalahan ALLAH Taala dengan segala yang baharu sama ada pada zat-Nya, pada sifat-Nya, atau pada perbuatan-Nya, dan sama ada yang baharu yang telah ada atau yang belum ada. Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan Tuhan berserupa dengan yang baharu pada zat-Nya atau pada sifat-Nya atau perbuatan-Nya.Adapun bersalahan Tuhan dengan yang baharu pada zat-Nya itu iaitu sesungguhnya zat Tuhan bukan ia jirim dan bukan aradh dan tiada sekali-kali zat-Nya berdarah, berdaging, bertulang dan bukan jenis leburan, jenis tumbuh-tumbuhan dan tiada ia di dalam pihak dan tiada baginya pihak-pihak, tiada ia di dalam tempat-tempat, tiada ia di dalam masa.Bersalahan Tuhan dengan yang baharu pada sifat-Nya itu iaitu sesungguhnya sifat ALLAH Taala itu tiada bersamaan dengan sifat yang baharu kerana sifat Tuhan itu qadim lagi azali dan melengkapi takluknya maka sesungguhnya sifat makhluk itu bertakluk pada setengah perkara jua seperti Sama’ Tuhan bertakluk ia pada segala yang maujudat dan sama’ yang baharu bertakluk ia kepada setengah jua iaitu pada suara sahaja demikian pada sifat-sifat yang lain tiada serupa dengan sifat Tuhan.Bersalahan Tuhan dengan yang baharu pada perbuatan-Nya iaitu sesungguhnya perbuatan Tuhan tiada bersalahan dengan perbuatan yang baharu kerana perbuatan Tuhan memberi bekas bersalahan perbuatan yang baharu. Dan perbuatan Tuhan tiada berkehendak kepada wasitah perkakas dan kepada taulan tiada mengambil faedah perbuatan dan hukumnya dan lagi perbuatan-Nya tidak ada yang sesia.Sesungguhnya ada perkataan di dalam Al Quran dan Hadis yang menyebut muka dan tangan ALLAH maka perkataan itu hendaklah kita iktiqadkan sabit secara yang layak dengan ALLAH Taala, yang Maha Suci daripada berjisim dan Maha Suci daripada bersifat dengan segala sifat yang baharu. Maka tiada yang mengetahui akan dia melainkan ALLAH Taala jua. Demikian inilah pelajaran iktiqad sekalian sahabat dan orang yang mengikut sahabat dan orang yang mengikut bagi orang yang mengikut sahabat yang dinamakan ulama mutaqaddimin.Tetapi ulama mutaakhirin telah berkata adalah perkataan yang tersebut di dalam Quran dan Hadis mengatakan muka dan tangan bagi ALLAH Taala itu ialah yang dikehendaki dengan tangan itu kudrat demikian lagi tiap perkataan yang seumpama itu ditakwilkan (ditanggungkan) dengan perkara yang munasabah daripada segala sifat yang sabit bagi ALLAH Taala.

Setiap Kejadian Tuhan, Faedahnya Kembali Kepada Manusia

Mukholafatuhu Taala Lilhawadisi ertinya “bersalah-salahan Tuhan itu daripada segala yang baharu”.

DENGAN kata lain, tidak sama ALLAH SWT itu dengan segala sifat yang baharu iaitu seluruh makhluk ini sama ada bumi, langit, alam manusia, alam haiwan, alam jin, alam malaikat, Alam Kubur, Alam Akhirat, dan apa sahaja kejadian ALLAH SWT.

Kemudian, tidak samanya ALLAH SWT itu dengan segala yang baharu ini bukan sahaja dari segi zat-Nya, bahkan dari segi sifat dan perbuatan-Nya juga. Maka hakikatnya ialah ibarat kita menafikan bersamaannya zat ALLAH SWT itu dengan yang baharu sama ada pada zat-Nya, sifat-Nya ataupun perbuatan-Nya. Dan sekiranya ada orang mengatakan bahawa ALLAH SWT itu serupa atau sama dengan segala yang baharu, sama ada dari segi zat-Nya, sifat-Nya atau perbuatan-Nya, orang itu telah jatuh syirik dan murtad disebabkan dia telah menyengutukan ALLAH SWT. Jadi hendaklah kita menjaga iktiqad kita jangan sampai kita mengatakan ALLAH itu serupa dengan makhluk sama ada pada zat-Nya, sifat-Nya ataupun perbuatan-Nya. Firman ALLAH:

Terjemahannya: Tiada yang menyerupai-Nya segala sesuatu. ( As Syura: 11 )

Zat ALLAH Bukan Jirim

Berhubung dengan zat ALLAH SWT, ia tidak sama dengan yang baharu iaitu zat ALLAH SWT bukan jirim. Jirim bererti sesuatu yang mengambil lapang atau ruang. Semua benda seperti diri kita ini, kerusi, meja, batu, besi, air dan lain-lainnya, adalah jirim. Dan semuanya itu sama ada yang sebesar-besar benda ataupun yang sekecil-kecilnya, mengambil ruang dan lapang. Tetapi zat ALLAH SWT tidak demikian. Zat ALLAH SWT tidak mengambil lapang atau ruang kerana zat-Nya bukan jirim. Baca entri selengkapnya »

Posted in Kajian Islam | Dengan kaitkata: , | Leave a Comment »

Aqidah Mukmin Siri 1 Abuya Ashaari bin Muhammad At Tamimi (Bab 5 : Baqa)

Posted by Aliey Faizal pada 24 Mei 2012

MATAN

Yang ketiga – Al Baqa’ ertinya kekal, sentiasa ada, tiada akhir, maka hakikatnya ibarat daripada menafikan ada kesudahan bagi wujud ALLAH Taala.Adapun yang lain daripada Tuhan ada juga yang kekal tiada batas selamanya, tetapi bukan dinamakan kekal yang hakiki (yang sebenar) bahkan kekal aradhi (yang mendatang jua seperti Syurga, Neraka, Arasy, Kalam, Kursi dan roh). Maka perkara yang tersebut ini dikatakan kekal kerana mendatang tatkala bertakluk qudrat iradat ALLAH Taala pada mengekalkannya.Peringatan: Segala jisim semuanya binasa melainkan ajbuzzanab () iaitu tulang kecil seperti biji sawi duduknya di tungking manusia ia adalah benih anak Adam yang akan bangkit daripada kubur kelak), jisim sekelian nabi-nabi dan jisim orang yang mati perang sabilillah maka ketiga-tiga ini kekal juga tetapi kekalnya aradhi.Yang demikian nyatalah perkara yang diiktibarkan permulaan dan kesudahan itu terbahagi kepada tiga bahagian :

  1. Tiada permulaan dan tiada kesudahan ialah zat dan sifat ALLAH taala.
  2. Ada permulaan tetapi tiada kesudahan iaitu Syurga, Neraka dan sebagainya yang sepuluh perkara di atas itu.
  3. Ada permulaan dan ada kesudahan iaitu segala makhluk yang lain daripada sepuluh yang tersebut di atas itu.

BAQA

BAQA’ ertinya kekal, atau sentiasa ada, atau tiada akhir, atau tiada kesudahan. Dalam kata-kata yang lain, Baqa’ ialah kekal yang tidak diiringi oleh tiada. Jadi, ALLAH SWT itu bersifat kekal, dan tidak berlaku pada-Nya kesudahan. Atau tidak berlaku pada ALLAH SWT itu pada mulanya ada, kemudian tiada.

Oleh itu, hakikat makna Al Baqa’ yang sebenarnya adalah dengan menafikan berlakunya kesudahan pada wujudnya ALLAH SWT. Ertinya, kalau ada orang mengatakan bahawa pada satu masa nanti, ALLAH SWT itu akan tiada, kita akan tolak kata-katanya itu kerana Baqa’ pada ALLAH SWT itu tidak ada kesudahannya atau tidak ada akhirnya.

Hakikat inilah yang wajib kita percayai dan kita yakini sungguh-sungguh tanpa dicelah oleh salah satu daripada
tiga bentuk keraguan iaitu syak, zan, atau waham. Kalau ada salah satu daripadanya di dalam fikiran kita, maka aqidah kita telah rosak; iman kita telah cacat. Dan apabila aqidah atau iman kita telah rosak, seluruh amal ibadah kita, walau bagaimana cantik dan walau bagaimana banyak sekalipun, tidak bermakna kerana ia tidak ada nilai di sisi ALLAH SWT. ALLAH SWT tidak akan menerima ibadah daripada orang yang aqidahnya telah rosak.

Kerana itu, amat perlu sekali kita tanamkan ingatan bahawa ALLAH SWT hanya akan menerima amal ibadah kita atas dasar aqidah atau iman. Tauhid kita kepada ALLAH mestilah tepat seratus peratus. Sebab itulah di dalam Islam, persoalan tauhid dan iman menjadi persoalan terpokok dan yang paling utama. Di dalam kitab dikatakan:

Terjemahannya: Awal-awal agama adalah mengenal Allah.

Inilah yang menjadi asas di dalam agama Islam. Mula-mula sekali, kita mengenal ALLAH SWT; kemudian baharulah kita mengenal sembahyang, mengenal puasa, mengenal haji, dan lain-lain hukum-hakam di dalam Islam. Kalau kita tidak kenal ALLAH SWT, maka kalau kita kenal yang lain-lain itu seperti kita kenal sembahyang dan sebagainya, itu semua tidak memberi apa-apa makna kepada kita. Yang pentingnya ialah kenal ALLAH SWT lebih dahulu. Dan untuk mengenal ALLAH SWT, kita perlulah mempelajari serta memahami sifat-sifat yang wajib bagi-Nya; termasuklah sifat Baqa’ ini. Baca entri selengkapnya »

Posted in Kajian Islam | Dengan kaitkata: , | Leave a Comment »

Aqidah Mukmin Siri 1 Abuya Ashaari bin Muhammad At Tamimi (Bab 4 : Qidam)

Posted by Aliey Faizal pada 24 Mei 2012

Matan

QIDAM ertinya sedia. Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan ada permulaan wujud Tuhan kerana Tuhan yang menjadikan tiap-tiap suatu yang ada, yang demikian itu tak dapat tidak keadaannya lebih dahulu daripada tiap-tiap sesuatu itu, kiranya Tuhan tidak lebih dahulu daripada tiap-tiap suatu, nescaya boleh ada sesuatu lebih dahulu daripada yang mengadakan. Yang demikian itu batal.Apabila disebut Tuhan bersifat dengan Qidam, jadilah ia Qadim. Misalnya seperti Zaid, apabila dikatakan ia bersifat dengan anjur, nescaya disebutlah dia itu penganjur.Di dalam ilmu tauhid ini ada satu perkataan yang sama maknanya dengan Qadim iaitu azali. Setengah-setengah ulama mengatakan: kedua-dua perkataan itu sama maknanya, iaitu sesuatu yang tiada permulaan baginya. Dan setengah-setengah ulama yang lain pula mengatakan: antara kedua perkataan (Qadim dan azali) pada perkara yang ada (maujud) seperti zat ALLAH dan qudrat-Nya azali dan pada perkara yang tiada (ghairi maujud) seperti yang menyerupai ALLAH itu azali. Maka Qadim itu khas dan azali itu am. Tiap-tiap Qadim azali tiada boleh akas yakni tiap-tiap azali tiada boleh disebut Qadim.Adalah Qadim dengan nisbah kepada nama terbahagi kepada empat bahagian:

  1. Qadim sifati – (tidak ada permulaan sifat ALLAH taala)
  2. Qadim zati – (tidak ada permulaan zat ALLAH taala)
  3. Qadim idhafi – (terdahulu sesuatu atas sesuatu seperti terdahulu bapa atas nisbah kepada anak)
  4. Qadim zamani – (lalu masa atas sesuatu Sekurang-kurang setahun)

Maka Qadim hakiki (Qadim sifati dan Qadim zati) tiada harus dikatakan lain daripada ALLAH taala.

Pengertian Al Qidam

AL QIDAM adalah perkataan Arab yang bermaksud “sedia”. Tetapi. “sedia” yang kita maksudkan kepada ALLAH SWT tidaklah sama dengan istilah “sedia” yang kita pakai pada benda-benda.

Dalam kehidupan sehari-hari, kita bertemu dengan benda-benda yang sedia ada, tetapi sedia adanya itu kerana ada yang menyediakannya. Bagi nasi yang sedia terhidang misalnya, ia bersifat sedia yang disediakan; ada orang yang menyediakannya.

Sifat sedia pada zat ALLAH SWT tidak demikian gambarannya; ia tidak boleh kita samakan dengan sifat sedia yang berlaku pada makhluk. Kalau kita samakan kedua-duanya, kita telah melakukan satu kesalahan yang paling besar. Kita telah menyamakan zat ALLAH SWT dengan benda-benda. Ini syirik hukumnya.

Dosa syirik adalah dosa yang tidak diampunkan oleh ALLAH SWT, sepertimana firman-Nya di dalam Al Quran:

Terjemahannya: Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia mengampuni selain dosa syirik itu bagi sesiapa yang dikehendaki- Nya. Barang siapa yang mempersekutukan ALLAH (menyamakan ALLAH dengan sesuatu), maka sesungguhnya ia telah membuat satu dosa yang besar. (An Nisa’: 48)

Jadi, jangan sekali-kali kita menyamakan sifat sedia pada ALLAH SWT itu dengan sifat sedia yang berlaku pada makhluk atau pada segala yang baharu iaitu manusia, benda-benda, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan sebagainya.
Sifat sedia yang berlaku pada yang baharu adalah sedia yang disediakan. Ada yang menyediakannya. Dalam ertikata yang lain, sifat sedia pada makhluk ada permulaannya, dan ada pula kesudahannya. Misalnya, nasi disediakan oleh isteri, dan ia mungkin disediakan pada pukul 12 tengah hari, atau pada pagi hari, atau boleh jadi waktu malam. Ertinya, dalam contoh sedia ini, ia ada bermula. Pada mula-mulanya nasi itu tidak ada, dan kemudian baharu ada.

Tetapi dalam memperkatakan sifat sedia atau sifat Al Qidam pada zat ALLAH SWT, kita hendaklah menolak atau menafikan adanya permulaan. Baca entri selengkapnya »

Posted in Kajian Islam | Dengan kaitkata: , | Leave a Comment »